FM Global Logistics lancar projek lestari dengan kerjasama Scania, Solarvest dan JAC Motors | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FM Global Logistics lancar projek lestari dengan kerjasama Scania, Solarvest dan JAC Motors

KUALA LUMPUR 21 Feb - Penyedia logistik bersepadu, FM Global Logistics Holdings Bhd mempertingkatkan inisiatif kelestarian melalui tiga kerjasama strategik untuk mengurangkan jejak karbon secara berperingkat, meningkatkan kecekapan tenaga, serta menggabungkan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam operasi mereka.

 

Dalam usaha memajukan agenda alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), FM Group bekerjasama dengan Scania Malaysia Sdn Bhd untuk membeli 20 Scania Super Trucks yang dilengkapi dengan enjin Euro 5 yang cekap bahan api bernilai RM11 juta.

 

FM Group juga memperoleh dua trak elektrik JAC i75 dari JAC Motors Malaysia Sdn Bhd dengan harga RM557,000 dan menandatangani perjanjian dengan Solarvest Energy Sdn Bhd untuk pemasangan sistem solar di gudang-gudang FM Group dengan kos RM1.5 juta.

 

Pengarah Urusan FM Group, Chew Chong Keat berkata, pihaknya bekerjasama dengan tiga organisasi yang terkenal iaitu Scania, Solarvest Malaysia dan JAC Motors bagi mencapai visi syarikat dalam kelestarian.

 

"Pelaburan dalam teknologi hijau ini akan membantu FM Group, terutamanya dalam mematuhi piawaian peraturan pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita pada satu majlis semalam seperti laporan The Sun.

 

Pada majlis itu, FM Group menerima enam Scania Super Trucks pertama, penyampaian surat anugerah (LoA) kepada Solarvest dan menandatangani LoA dengan JAC Motors.

 

Chong Keat berkata, kerjasama antara anak syarikat milik penuh FM Group, FM Global Logistics Sdn Bhd dengan ketiga-tiga syarikat tersebut memperkukuhkan komitmen FM Group terhadap agenda ESG mereka.

 

Jelas beliau, dengan pengenalan 20 Scania Super Trucks, peralihan kepada trak EV dan pemasangan tenaga solar, FM Global telah mencapai pengurangan pembebasan karbon sebanyak 20%.

 

"Saya mengakui peralihan ini tidak akan mudah, tetapi saya yakin kita boleh mencapainya. Pada masa ini, armada kami terdiri daripada lebih 160 trak kontena dan 150 trak bukan kontena dengan lebih 300 jumlah keseluruhan.

 

"Kami akan memperoleh 20 trak Euro 5 dan proses ini akan diteruskan, sama ada melalui penggantian atau pembelian tambahan. Dengan setiap trak menyumbang pengurangan sebanyak 8%, peralihan secara berperingkat ini akan membantu kami bergerak ke arah matlamat kelestarian kami," tambahnya.

 

Selain itu, beliau memaklumkan, syarikat akan meneruskan inisiatif tenaga solar dalam mencapai visi bebas karbon.

 

Pengarah Urusan Scania Malaysia untuk Asia Tenggara, Joyce Antar berkata, kerjasama lestari berkenaan bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon global dan tempatan bagi mencapai matlamat ESG FM Global.

 

"Ia adalah kerjasama yang direka khas dengan tujuan tunggal untuk memaksimumkan kecekapan bahan api armada, mengurangkan pelepasan CO2, nitrogen oksida dan zarah halus, semua untuk memenuhi keperluan ESG pelanggan. 

 

"Bersama dengan Perkhidmatan Digital Scania, kami terus membina lebih banyak kerjasama yang maju dan lestari," ujarnya.

 

Scania Super Trucks menawarkan penjimatan bahan api sebanyak 8% setiap kenderaan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) dari operasi FM Group sebanyak 719 tan setiap tahun.

 

Naib Presiden Kumpulan Solarvest, Jack Tan pula berkata, sistem solar ditawarkan pihaknya dijangka mencapai dua objektif penting. 

 

"Objektif pertama adalah untuk mengurangkan kebergantungan FM Group terhadap elektrik dari grid nasional, manakala objektif kedua yang lebih penting adalah untuk menyumbang kepada pengurangan pelepasan GHG dari elektrik yang dibeli," jelasnya.

 

FM Group merupakan antara penyedia perkhidmatan multimodal terkemuka di Asia Tenggara dengan capaian global yang luas merangkumi 127 negara dan pasukan yang terdiri daripada lebih 1,700 profesional logistik. - DagangNews.com