Filem `Raya Pertama' TNB hidupkan semangat muhibah, perkukuh Silaturahim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Filem `Raya Pertama' TNB hidupkan semangat muhibah, perkukuh Silaturahim

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi filem raya terbaharunya, Raya Pertama, menekankan kepentingan nilai muhibah dan silaturahim dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia, terutamanya di tengah arus permodenan dan gaya hidup bandar yang serba pantas.

 

Filem ini mengisahkan Adam, seorang mualaf berbangsa Cina, yang menyambut Hari Raya Aidilfitri pertama di kampung halaman isterinya, Maria.

 

Di sebalik kemeriahan perayaan, Adam berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan keluarga baharu sehingga pertemuannya dengan Ujang, seorang kanak-kanak peramah, membantu beliau menyesuaikan diri dan merasai kemeriahan sebenar Hari Raya.

 

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin berkata filem Raya Pertama memberikan perspektif bermakna mengenai sambutan perayaan dengan menekankan kepentingan hubungan seharian sesama insan serta bagaimana keikhlasan mampu membina rasa kebersamaan.

 

“Ini mencerminkan komitmen TNB dalam menerangi kehidupan rakyat. Dengan mengangkat nilai hubungan dan kebersamaan, kami sentiasa berkongsi kisah yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat seharian,” kata beliau.


 

samsul
Samsul Ariffin Zainuddin

 


Tambah Samsul Ariffin, TNB akan sentiasa memainkan peranan penting dengan menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap bagi memastikan setiap detik bermakna, termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, dapat diraikan dengan meriah dan penuh sinar.

 

Filem Raya Pertama kini boleh ditonton di saluran media sosial rasmi TNB:

 

TNB mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, semoga perayaan tahun ini membuka ruang untuk lebih mengenali insan di sekeliling dan mengeratkan perpaduan berteraskan semangat muhibah. - DagangNews.com