Fasa keenam Solar Skala Besar belum diputuskan pelaksanaan setakat ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasa keenam Solar Skala Besar belum diputuskan pelaksanaan setakat ini

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan fasa keenam program Solar Skala Besar (LSS6) kerana ingin merancang tenaga masa depan berdasarkan data penggunaan sebenar dan bukannya unjuran.

 

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian telah berunding dengan lebih 10 pihak berkepentingan bagi menilai keperluan tenaga jangka panjang negara.

 

“Setakat ini, LSS PETRA 5 dan 5 Plus telah dilaksanakan. Sama ada LSS6 diteruskan atau tidak bergantung kepada keperluan tenaga pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita dalam Program Driving the Green Energy Transition anjuran MBSB.

 

Walaupun unjuran permintaan – khususnya dari pusat data – dilihat menjanjikan, Fadillah berkata ia masih belum cukup kukuh untuk menjadi asas kepada penambahan kapasiti penjanaan tenaga baharu.

 

“Banyak pihak telah menjangkakan permintaan tenaga yang tinggi tetapi kita tidak mahu bergantung kepada unjuran semata-mata. Kita mahu melihat penggunaan sebenar, data sebenar, bukan hanya anggaran,” katanya.

 

 

Xi

 

 

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa skim LSS tetap merupakan inisiatif utama kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara selaras dengan peralihan tenaga dan matlamat pengurangan karbon.

 

Beliau turut menekankan usaha berterusan untuk mendemokrasikan akses kepada tenaga solar menerusi inisiatif bersasar seperti program Net Energy Metering (Nem 4.0), Self Consumption (Selco) dan Inisiatif Tenaga Komuniti 5km (Krim).

 

“Nem 4.0 membolehkan pengguna menjual lebihan tenaga solar ke grid,” jelas Fadillah, sambil menambah bahawa ia telah membantu mengurangkan bil elektrik bagi banyak isi rumah.

 

Namun begitu, beliau mengakui wujud kebimbangan mengenai keadilan subsidi antara pengguna solar dan bukan solar, sekali gus mendorong kerajaan menyemak semula sistem sedia ada dengan skim baharu seperti Selco dan Krim yang direka untuk memperkasakan komuniti, bukan sekadar individu.

 

“Pendekatan ini membolehkan komuniti membina dan mengurus sistem tenaga mereka sendiri secara kolektif. Inilah model yang sedang kita laksanakan – menghimpunkan rakyat bukan hanya sebagai pengguna tetapi sebagai satu komuniti,” katanya. - DagangNews.com