Farm’s Best selesai pulih data selepas serangan siber – CAB Cakaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm’s Best selesai pulih data selepas serangan siber – CAB Cakaran

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 SeptCAB Cakaran Corporation Bhd mengumumkan anak syarikat milik majoriti, Farm’s Best Food Industries Sdn Bhd, berjaya menyelesaikan proses pemulihan sepenuhnya semua data yang terjejas akibat serangan siber Jun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, pemulihan data itu susulan kejadian serangan siber terhadap sistem perakaunan Farm’s Best pada 5 dan 23 Jun 2025.

 

“Lembaga Pengarah CAB ingin memaklumkan bahawa Farm’s Best berjaya menyempurnakan proses pemulihan data sepenuhnya setakat hari ini,” menurut kenyataan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan siber ke atas Farm's Best Food tidak jejaskan operasi, kata CAB Cakaran

 

CAB Cakaran turut menegaskan komitmen syarikat untuk terus memperkukuh langkah keselamatan siber bagi melindungi sistem dan integriti data syarikat pada masa akan datang.

 

Farm’s Best merupakan anak syarikat milik 51% CAB Cakaran, yang terlibat dalam industri pemprosesan makanan berasaskan ayam dan produk sejuk beku.

 

Pada suku ketiga berakhir 30 Jun 2025 untung bersih CAB Cakaran melonjak 71.5% kepada RM28.8 juta iaitu suku ketujuh berturut-turut memperoleh keuntungan tanpa subsidi kerajaan.

 

Untung operasi segmen unggas naik 20.4% kepada RM44.96 juta, disokong oleh penurunan kos makanan ternakan (11%) meskipun hasil sedikit merosot.

 

Pendapatan sembilan bulan (9M FY25) untung bersih susut 3.4% kepada RM83.66 juta tetapi hasil meningkat 1.8% kepada RM1.74 bilion manakala tunai meningkat kepada RM225.77 juta (naik 12.7%).

 

Menjelang suku keempat, syarikat kekal optimis terutamanya dengan pengambilalihan Cargill Feed Sdn Bhd (RM231 juta dalam proses) yang dijangka memperkukuh rantaian bekalan. - DagangNews.com