Farm Price beli dua syarikat bernilai RM4.5 juta untuk luaskan perniagaan buah, makanan sejuk beku | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Price beli dua syarikat bernilai RM4.5 juta untuk luaskan perniagaan buah, makanan sejuk beku

Gambar/FB Farm Price Sdn Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Jun - Pengedar dan pemborong sayur-sayuran, Farm Price Holdings Bhd merancang untuk mengembangkan penjualan buah-buahan, makanan sejuk beku dan barangan runcit melalui pembelian dua syarikat di Johor bernilai RM4.5 juta.

 

Syarikat itu berkata, pihaknya akan membeli perniagaan borong dan barangan runcit, Hong Yun Vegetables & Fruits Sdn Bhd, termasuk aset seperti perabot, kelengkapan dan peralatan kilang dengan nilai RM3.9 juta.

 

Selain itu, Farm Price juga menandatangani perjanjian dengan D&D Sinma 8888 Univeg Trading untuk membeli aset seperti kenderaan, loji dan mesin bernilai RM600,000.

 

"Pembelian ini dibuat menggunakan dana dalaman syarikat dan dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Farm Price berkata, langkah itu akan membantu mereka menambah lebih banyak jenis produk dan menarik lebih ramai pelanggan dalam sektor makanan di Malaysia dan Singapura.

 

Ia juga dijangka meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat pada masa akan datang.

 

Pada masa ini, Farm Price menjalankan perniagaan memborong dan mengedar sayur-sayuran segar serta mengendalikan sebuah kedai runcit di Ulu Tiram, Johor yang menjual sayur, makanan, minuman dan barangan runcit terus kepada pengguna.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, keuntungan bersih Farm Price turun 5.91% kepada RM2.59 juta, berbanding RM2.66 juta setahun lalu, akibat kos kewangan dan cukai yang lebih tinggi.

 

Pendapatan juga susut 2.9% kepada RM29.82 juta, berbanding RM30.71 juta sebelumnya, berikutan penurunan jualan dalam segmen pengedaran borong. 

 

Pada akhir suku itu, Farm Price mencatat baki tunai dan bank sebanyak RM16.6 juta. - DagangNews.com