Farhash Wafa Salvador letak jawatan pengerusi 7-Eleven Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farhash Wafa Salvador letak jawatan pengerusi 7-Eleven Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Mei - Syarikat 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan pengerusi bukan eksekutif bukan bebasnya Datuk Farhash Wafa Salvador telah meletak jawatan untuk mengejar kepentingan lain.

 

Peletakan jawatannya dibuat sehari selepas kumpulan kedai serbaneka itu mengadakan mesyuarat agung tahunannya.

 

Farhash, 42, menyertai lembaga pengarah 7-Eleven Malaysia pada 3 Jan 2023, kata 7-Eleven dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Bekas pembantu politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas ketua PKR Perak, beliau kini memegang jawatan pengarah dalam empat syarikat tersenarai awam lain, iaitu MMAG Holdings Bhd, Apex Equity Holdings Bhd, Excel Force MSC Bhd dan Key Alliance Group Bhd.

 

Pada April, Farhash menjadi pemegang saham besar dalam Key Alliance dengan pembelian 6.8 juta saham dalam pasaran terbuka. Dia memiliki 5.546% kepentingan sekarang.

 

Saham 7-Eleven Malaysia ditutup naik 0.51% kepada RM1.98 sesaham pada hari Jumaat, memberikannya permodalan pasaran RM2.3 bilion. - DagangNews.com