Exsim tamatkan kontrak dengan Aperia, pilih syarikat Jepun sebagai penyewa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim tamatkan kontrak dengan Aperia, pilih syarikat Jepun sebagai penyewa

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mac - Exsim menamatkan kontraknya secara bersama dengan Aperia Cloud Services untuk Pusat Data Hyperscale Exsim @ Bukit Jalil, sebaliknya memilih sebuah syarikat besar dari Jepun yang tersenarai dalam senarai Fortune 500 sebagai penyewa utama.

 

Langkah itu diambil selepas Singapura menyiasat sama ada pelayan daripada Amerika Syarikat (AS), Dell dan Supermicro, yang mengandungi cip untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), dihantar ke destinasi akhir yang tidak diketahui selepas pertama kali dihantar ke syarikat-syarikat yang berpusat di Singapura dan kemudian dieksport ke Malaysia.

 

Syarikat teknologi yang berpusat di Singapura, Aperia Cloud Services, sepatutnya menjadi penyewa pertama bagi Fasa 1 pembangunan pusat data Exsim.

 

Exsim berkata, penamatan kontrak berlaku sebelum Aperia memasang sebarang pelayan atau menanggung kos modal tambahan untuk kemudahan tersebut.

 

"Keputusan ini diambil untuk memastikan integriti projek kami dan memastikan semua penyewa sejajar dengan visi jangka panjang kami untuk Pusat Data Hyperscale Exsim.

 

"Exsim masih mempunyai saluran permintaan yang kukuh dan kami yakin dapat memperoleh penghunian penuh memandangkan spesifikasi kemudahan dan lokasi strategiknya," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Exsim belum mendedahkan nama syarikat Jepun tersebut, tetapi menyatakan pembangunan pusat data terus menerima minat yang kuat daripada penyewa berpotensi lain, termasuk sebuah syarikat besar dari Asia Timur dan sebuah syarikat korporat tempatan utama.

 

"Memandangkan lokasi strategik dan spesifikasi tinggi kemudahan kami, kami tidak menjangkakan sebarang cabaran untuk memperoleh penghunian penuh. 

 

"Sasaran pelanggan kami termasuk syarikat AI, penyedia perkhidmatan awan global, perusahaan besar tempatan dan syarikat multinasional," jelasnya.

 

Exsim turut memaklumkan, fasa pertama pusat data tersebut sudah siap dari segi struktur, dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dijangka pada suku kedua 2025.

 

"Fasa 2 sedang berjalan seperti yang dirancang, dengan kerja-kerja cerucuk sudah dimulakan dan ia dijangka siap pada 2026," ujarnya. 

 

Pusat Data Hyperscale Exsim dibiayai sepenuhnya secara dalaman, dengan kos penyesuaian mekanikal dan elektrik (M&E) akan ditanggung hanya selepas spesifikasi penyewa dimuktamadkan.

 

Kemudahan itu direka untuk memenuhi piawaian industri tertinggi, dengan pensijilan Tier 4 daripada Uptime, pensijilan GreenRE dan pematuhan ISO/IEC27001. - DagangNews.com