Express Powerr Solutions fail permohonan IPO bagi kembangkan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Express Powerr Solutions fail permohonan IPO bagi kembangkan perniagaan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mac - Penyedia perkhidmatan sewaan penjana, Express Powerr Solutions (M) Bhd, memfailkan permohonan untuk penawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE bagi mengumpul dana untuk membeli lebih banyak penjana.

 

Ia selaras dengan rancangan syarikat untuk mengembangkan perniagaannya di seluruh Malaysia.

 

Menurut syarikat, IPO yang dicadangkan melibatkan terbitan awam sebanyak 180 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 65.41 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

"Secara keseluruhan, penyenaraian ini akan menawarkan pelabur pegangan sebanyak 19.26% dalam syarikat," jelas draf prospektus yang difailkan dengan Bursa Malaysia.

 

Express Powerr pada Oktober 2024 mendedahan prospektus IPO melibatkan sehingga 211.9 juta saham, yang merangkumi tawaran untuk jualan sebanyak 51.15 juta saham sedia ada, serta terbitan awam sebanyak 160.75 juta saham baharu.

 

Ditubuhkan pada Ogos 2005, syarikat yang berpusat di Klang itu, menyediakan perkhidmatan sewaan penjana, termasuk pemasangan dan pembukaan semula, sokongan teknikal dan kakitangan operasi di tapak serta perkhidmatan penyelenggaraan.

 

Pelanggan utama syarikat berkenaan terdiri daripada Tenaga Nasional Bhd, syarikat mekanikal dan elektrik (M&E), syarikat pengilangan, syarikat pembinaan, penganjur acara dan agensi kerajaan.

 

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2023, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.89 juta dengan pendapatan sebanyak RM39.42 juta.

 

Margin keuntungan kasar adalah 56.5%, manakala margin keuntungan sebelum cukai adalah 32.9%.

 

Di bawah terbitan awam yang dicadangkan, syarikat akan memperuntukkan sebanyak 46.72 juta saham untuk orang awam dan 18.69 juta saham untuk individu yang layak.

 

Sementara itu, sebanyak 63.19 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih dan 51.39 juta saham baharu lagi kepada pelabur Bumiputera, kedua-duanya melalui penempatan persendirian.

 

Hasil daripada terbitan awam itu akan digunakan untuk pembelian penjana dan peralatan voltan sederhana dan tinggi, pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja, serta perbelanjaan penyenaraian.

 

"Pertambahan penjana penting untuk menyokong strategi perniagaan kami termasuk peluasan ke kawasan lain di Malaysia bagi mendapatkan pelanggan baharu, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan, meningkatkan kapasiti operasi dan memastikan kami dapat memenuhi keperluan pelanggan sedia ada dan berpotensi," katanya.

 

Selain itu, Express Powerr merancang untuk menceburi perniagaan rumusan fotovoltaik solar (PV) bagi memanfaatkan permintaan yang kukuh dalam segmen tersebut di Malaysia.

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran untuk jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham dan Pengarah Urusan, Lim Cheng Ten.

 

Selepas IPO, pegangan Cheng Ten akan dicairkan kepada 73.74% daripada pegangan 100% beliau dalam syarikat.

 

Mercury Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com