Exabytes tubuhkan Pusat Kecemerlangan Awan di Pulau Pinang pacu pembangunan bakat ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exabytes tubuhkan Pusat Kecemerlangan Awan di Pulau Pinang pacu pembangunan bakat ASEAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Exabytes menubuhkan Pusat Kecemerlangan Awan (CCoE) di Pulau Pinang dalam langkah penting ke arah memajukan transformasi digital dan inovasi awan di rantau Asia Tenggara. 


Inisiatif itu dibangunkan bersama Amazon Web Services (AWS) dan Forward College dengan direka khusus untuk memupuk kepakaran awan AWS serta mempercepatkan pendigitalan perniagaan.


CCoE tersebut juga kata penyedia rumusan kecerdasan buatan (AI) yang diasaskan pada 2001 itu, bakal membangunkan tenaga kerja tersedia untuk masa depan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.


"Terletak secara strategik di Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Malaysia, CCoE ini akan berfungsi, sebagai hab inovasi serantau," kata Exabytes dalam satu kenyataan.


Pusat tersebut juga membantu perniagaan berkembang dengan teknologi AWS, sambil membina aliran bakat awan tempatan yang kukuh melalui kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan terkemuka.


Penubuhan pusat itu berikutan tinjauan mendapati 64 peratus organisasi di Malaysia menghadapi kekurangan kemahiran dari tahap sederhana hingga kritikal, dan inisiatif ini hadir tepat masanya.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak berkata, pelancaran CCoE ini menandakan pencapaian penting dalam misi  Grow Digital untuk membantu perniagaan di rantau ini.

 

exabytes


“Dengan kerjasama rapat secara bersama, kami menangani keperluan mendesak penggunaan teknologi awan dan membolehkan ramai belia mendapat akses kepada kerjaya digital bernilai tinggi,” katanya.


Sebagai sebahagian komitmen menyeluruh terhadap pertumbuhan inklusif, Exabytes turut menyokong 20 pelajar dari keluarga miskin melalui tajaan pendidikan tinggi dengan kerjasama Forward College.


Selepas tamat pengajian kata Kee Siak, syarikat ini komited menawarkan tiga tahun pekerjaan dalam kumpulan Exabytes untuk mewujudkan laluan secara nyata dari alam pendidikan ke mobiliti ekonomi.


Sementara itu, Pengurus Besar Negara, AWS Malaysia, Pete Murray berkata, pelancaran CCoE yang pertama di wilayah utara Semenanjung Malaysia ini merupakan satu langkah yang besar ke hadapan.


Kepimpinan pasukan Exabytes katanya, harus dipuji atas visi berani mereka dalam teknologi awan dan AI yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital dan keupayaan digital di ASEAN.


"Melalui kerjasama bersama Exabytes, kami memperkasa perniagaan berinovasi dengan pantas, selamat dan berskala menerusi  AWS, sambil menyumbang penciptaan pekerjaan," katanya. - DagangNews.com