KUALA LUMPUR 22 Julai — Oasis Harvest Corp Berhad menyaksikan kemunculan European Credit Investment Bank Limited (ECIB) yang berpangkalan di Labuan sebagai pemegang saham utamanya yang terbaharu.
Bank pelaburan pesisir tersebut memperoleh sebanyak 1.39 juta saham, bersamaan 5.78% kepentingan, dalam syarikat makanan dan minuman itu melalui urus niaga pasaran terbuka pada 18 Julai 2025.
Pengarah Eksekutif Oasis Harvest, Ch'ng Eu Vern berkata, kemasukan ECIB adalah satu peristiwa penting bagi kumpulan itu dan pengesahan yang jelas mengenai potensi pertumbuhan syarikat tersebut.
"Pengalaman yang cukup luas ECIB sendiri dalam aspek kewangan dan nasihat strategik akan menjadi tidak ternilai kepada perniagaan rangkaian restoran kami," kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah Ch’ng, pelaburan bank tersebut dijangka mampu menyediakan kumpulan rakan kongsi kewangan yang stabil dan strategik, di samping mengukuhkan asas syarikat untuk pengembangan masa depan.
ECIB kini merupakan pemegang saham ketiga paling besar selepas Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Kumpulan Oasis Harvest, Datuk Seri Tan Ooi Han (13.62%) dan Oasis Harvest Holdings Sdn (13.88%).
Bagaimanapun, bank pesisir berkenaan menerusi satu makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini, tidak pula mendedahkan dengan terperinci sebarang harga pembelian kepentingan tersebut.
Berdasarkan maklumat dalam laman web rasminya, ECIB dilesenkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dengan pelbagai tugas termasuk sebagai broker perdagangan mata wang dan komoditi.
Oasis Harvest, yang sebelum ini dikenali sebagai Dolphin International Berhad, mempelbagaikan perniagaan makanan pada Oktober 2020 dengan kini mengendalikan beberapa restoran terkenal.
Ini termasuk Uncle Don’s dan Verona Trattoria, serta terlibat dalam perdagangan minuman beralkohol, selain juga mengembangkan perniagaan menerusi restoran De.Wan 1958 oleh Chef Wan dan Cafe Chef Wan.
Perkembangan tersebut dicatatkan Oasis Harvest selepas ia berjaya mengambil alih Metta Food & Lifestyle Sdn Bhd dengan pembayaran wang tunai berjumlah RM30.8 juta.
Awal bulan ini, ECIB dilaporkan membeli 5.77 peratus kepentingan dalam syarikat peranti pintar dan perkhidmatan rumusan pembayaran dalam talian tempatan, Green Packet Berhad. - DagangNews.com








