Equitas kemuka aduan rasmi terhadap Teo Seng Farms, dakwa langgar piawaian kebajikan haiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Equitas kemuka aduan rasmi terhadap Teo Seng Farms, dakwa langgar piawaian kebajikan haiwan

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Jun – Equitas mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) berhubung isu kebajikan haiwan dan keselamatan makanan di ladang pembekal telur Teo Seng Farms.

 

Aduan yang diterima pada Mei 2025 itu disertakan bukti visual keadaan ladang yang didakwa kotor dan sesak.

 

Rakaman yang dikemukakan menunjukkan najis haiwan pada palang sangkar dan peralatan, termasuk pada badan ayam dan telur, manakala ayam pula ditempatkan dalam sangkar sempit dengan bulu gugur, kecederaan serta kecacatan fizikal.

 

equitas

 

Pengurus Kempen Equitas, Dana Taborosi berkata, isu ini bukan sahaja melibatkan kebajikan haiwan, tetapi juga kesihatan awam dan kepercayaan pengguna.

 

"Kami kemukakan aduan ini untuk menarik perhatian terhadap keadaan dalam rantaian bekalan yang mungkin tidak memenuhi piawaian seperti digariskan dalam dasar kesihatan awam dan penternakan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Laporan 2024 oleh Lever Foundation menunjukkan 60% kumpulan hotel yang dinilai di Malaysia telah membuat komitmen mendapatkan bekalan telur tanpa sangkar. 

 

equitas

 

Antaranya Sunway Hotels, Ascott Malaysia, Banyan Tree Malaysia, Shangri-La, Hilton, Accor, Hyatt, Best Western, Club Med, Dorsett, dan IHG.

 

Komitmen itu selari dengan trend global industri hospitaliti dan makanan yang semakin beralih kepada sistem pengeluaran telur tanpa sangkar.

 

Laporan Tahunan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan 2023 yang diterbitkan pada 17 Februari 2025 menggariskan keutamaan pemantauan menyeluruh terhadap pengedaran telur sebagai sebahagian daripada agenda kesihatan awam negara.

 

equitas

 

Aduan itu selaras dengan objektif Pelan Tindakan Polisi Pembiakan Ternakan Malaysia 2022–2030 yang digariskan DVS, termasuk komitmen negara terhadap pengeluaran ternakan secara bertanggungjawab dan menepati piawaian global.

 

Kajian antarabangsa oleh European Food Safety Authority mendapati ladang telur bersangkar berisiko sehingga 33 kali ganda lebih tinggi terhadap pencemaran salmonella berbanding sistem tanpa sangkar.

 

equitas

 

Lebih 30 negara termasuk Kesatuan Eropah, UK, New Zealand, Kanada, dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) telah mengharamkan atau sedang menghentikan pengeluaran telur menggunakan sangkar bateri.

 

Equitas turut menggesa semua kumpulan hotel di Malaysia agar terus menilai saluran bekalan telur masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan tempatan serta selaras dengan piawaian antarabangsa.- DagangNews.com