KUALA LUMPUR 17 Jun – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ground Team Red (GTR) bagi meneroka potensi pemasangan sistem solar di Terminal Kargo dan Pusat Penyelenggaraan Peralatan Perkhidmatan Darat milik GTR.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, kerjasama itu merupakan langkah mempercepat penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor sokongan penerbangan.
"Kami menyasarkan untuk menyokong objektif kelestarian GTR melalui kepakaran EPIC dalam penyediaan sistem solar dan rumusan tenaga boleh diperbaharui bagi fasiliti komersial serta industri menerusi Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB).
"Inisiatif ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya dalam satu kenyataan.
EPIC akan bertindak sebagai penyedia utama rumusan infrastruktur solar menerusi EPPSB, manakala GTR akan menilai keperluan integrasi sistem tenaga solar bagi operasi utamanya.
Perjanjian itu ditandatangani Muhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah.
Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Ketua Pegawai Operasi GTR, Bobban Phillip Jose.
Sementara itu, Musdalifa menyifatkan kolaborasi dengan EPIC sebagai langkah penting ke arah operasi darat sifar karbon.
"Dengan mengintegrasikan tenaga solar ke dalam fasiliti kargo dan penyelenggaraan, kami memperkukuh komitmen terhadap kelestarian industri penerbangan.
"GTR telah melaksanakan langkah awal menerusi pelancaran rangkaian Traktor Elektrik (EV) terbesar dalam industri penerbangan Malaysia pada 2024, selain terus melabur dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau," katanya.
Kerjasama tersebut turut menyokong usaha memperkukuh kelestarian dalam operasi logistik penerbangan dan perindustrian, sekali gus mengukuhkan penyertaan EPIC dalam agenda tenaga boleh diperbaharui negara serta menyokong inisiatif GTR menjadikan operasi darat lebih cekap tenaga dan rendah karbon.








