Enam strategi Terengganu pacu pelaburan berimpak tinggi di Kertih, Teluk Kalong dan Gong Badak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enam strategi Terengganu pacu pelaburan berimpak tinggi di Kertih, Teluk Kalong dan Gong Badak

Kawasan Industri Teluk Kalong, Kemaman
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 15 Julai – Kerajaan Negeri menggariskan enam strategi utama bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Terengganu menerusi pembangunan kawasan industri yang lebih tersusun, pengukuhan infrastruktur serta memfokuskan sektor mengikut kelebihan setiap lokasi.

 

Langkah itu termasuk memperkukuh promosi pelaburan, menyusun pembangunan industri mengikut kluster kawasan, memanfaatkan kemudahan ECRL dan Pelabuhan Kemaman serta memperluas kerjasama bersama agensi pelaburan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Strategi berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan kawasan perindustrian sedia ada seperti Kertih, Telok Kalong dan Gong Badak dengan setiap lokasi akan dibangunkan mengikut kelebihan serta potensi industri masing-masing bagi meningkatkan daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan.

 

Pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan industri negeri lebih tersusun, selain mewujudkan ekosistem yang mampu menarik penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam sektor bernilai tinggi.

 

Antara fokus utama Kerajaan Negeri ialah menjadikan kawasan industri sedia ada sebagai pemangkin pertumbuhan baharu menerusi pembangunan sektor tenaga, petrokimia hiliran, teknologi hijau, industri berat, logistik, halal dan pembuatan berteknologi tinggi.

 

Pengurusan Dan Promosi Kawasan Industri Diperkukuh

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Kerajaan Negeri telah melantik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebagai badan yang mengurus dan mempromosikan tanah industri di seluruh negeri termasuk kawasan Telok Kalong dan Gong Badak.

 

Beliau berkata, bagi kawasan perindustrian Kertih pula, pengurusan kawasan tersebut dilaksanakan oleh TI Properties melalui pihak ketiga sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan pembangunan kawasan berkenaan.

 

“Usaha menarik pelaburan turut diperkukuhkan melalui aktiviti promosi di pelbagai ekspo dan pameran pelaburan termasuk Ekspo Selangor Investment & Industrial Park (SPARK) 2025 di Kuala Lumpur serta International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2025.

 

“Selain penyertaan dalam acara promosi, Kerajaan Negeri juga melaksanakan sesi libat urus bersama pelabur bagi memperkenalkan peluang serta potensi kawasan industri di Terengganu,” katanya.

 

Pembangunan Industri Mengikut Kekuatan Kawasan

Mohd Nurkhuzaini berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan menetapkan fokus pembangunan mengikut lokasi bagi memastikan setiap kawasan industri mempunyai peranan khusus dalam menarik pelaburan.

 

“Bagi Kawasan Perindustrian Kertih, kawasan itu akan diperkasakan sebagai hab industri berintensif tenaga dan hiliran dengan tumpuan kepada sektor berkaitan tenaga serta industri sokongan bernilai tinggi.

 

“Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi termasuk petrokimia hiliran, hidrogen hijau, ammonia, methanol serta industri berasaskan teknologi hijau,” jelasnya.

 

Selain itu, beliau berkata pembangunan Taman Perindustrian Kertih Terengganu oleh Retro Court Sdn Bhd antara projek strategik yang bertujuan menarik pelabur dalam sektor hiliran petrokimia dan industri berkaitan.

 

“Kerteh Biopolymer Park (KBP) turut diperkukuhkan menerusi pembangunan fasa seterusnya bagi menyokong kemasukan syarikat berasaskan biopolimer, kimia dan teknologi hijau,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu raih RM400 juta pelaburan pada suku pertama 2026

 

Teluk Kalong Sebagai Hab Industri Berat

Sementara itu, Kawasan Perindustrian Telok Kalong akan diberi fokus sebagai hab pembuatan industri berat, perkapalan dan logistik berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran Pelabuhan Kemaman.

 

Kawasan tersebut mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan dalam sektor industri berat, metalurgi, perkhidmatan sokongan minyak dan gas serta aktiviti berkaitan maritim.

 

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap penyediaan kemudahan utiliti, tenaga kerja mahir dan sumber tenaga berkapasiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri berskala besar.

 

“Selain itu, pelabur turut boleh memanfaatkan insentif fiskal khusus di bawah zon ekonomi Pantai Timur (ECER) serta kemudahan pelaburan yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

t

 

Gong Badak Fokus Industri Halal Dan Pembuatan Bernilai Tinggi

“Bagi kawasan perindustrian Gong Badak pula, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri halal, pemprosesan makanan, pembuatan ringan serta industri bernilai tinggi.

 

“Pendekatan itu melibatkan pengukuhan infrastruktur digital dan pembangunan ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi menyokong rantaian bekalan syarikat multinasional,” jelasnya.

 

Usaha tersebut dijangka memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk memainkan peranan lebih besar sebagai pembekal kepada industri berskala besar.

 

Pada masa sama, pembangunan industri halal turut dilihat mampu membuka peluang lebih luas kepada pengeluaran produk berorientasikan eksport.

 

ECRL Dan Pelabuhan Kemaman Jadi Pemangkin Baharu

Selain kawasan industri sedia ada, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) di stesen ECRL Chukai serta pembesaran Pelabuhan Kemaman sebagai pemangkin baharu pertumbuhan industri.

 

Pembangunan itu bertujuan menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti petrokimia hiliran, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, ekonomi digital, aeroangkasa dan pembuatan berteknologi tinggi.

 

Antara projek yang dirancang ialah pembangunan "inland port" di kawasan TOD Chukai yang akan menjadi hab logistik menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan Pelabuhan Klang melalui Kemaman Spurline.

 

Kemudahan itu dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menyokong aktiviti eksport semula kargo ke pasaran utama seperti Asia Timur, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat.

 

Infrastruktur Dipertingkat, Kerjasama Pelaburan Diperluas

Dalam usaha melengkapkan kemudahan asas kawasan industri, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan berjumlah RM2.61 juta daripada MIDA di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tahun 2026.

 

Peruntukan tersebut dicadangkan untuk menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan dan sistem perparitan di kawasan perindustrian terpilih di negeri itu.

 

Selain itu, Terengganu Inc turut mempunyai kawasan industri strategik menerusi Kertih Terengganu Industrial Park (KTIP) yang kini dalam proses mencari pelabur berpotensi untuk membangunkan kawasan tersebut.

 

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi seperti MIDA, ECERDC, MATRADE dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), selain GLC negeri seperti Terengganu Inc dan PMINT.

 

“Kerjasama bersepadu itu menjadi sebahagian daripada usaha penjenamaan semula serta menaik taraf kawasan perindustrian sedia ada supaya lebih berdaya saing.

 

“Melalui enam strategi tersebut, Terengganu menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkukuh rantaian industri negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya. - DagangNews.com