Ekuinas lancar program pembangunan kapasiti syarikat bumiputera, pilih Kopi Hang Tuah sebagai peserta pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekuinas lancar program pembangunan kapasiti syarikat bumiputera, pilih Kopi Hang Tuah sebagai peserta pertama

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 April - Firma ekuiti persendirian berkaitan kerajaan, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memilih Kopi Hang Tuah sebagai syarikat pertama di bawah program pembangunan kapasiti baharunya yang menyokong syarikat bumiputera berpotensi tinggi dalam segmen pasaran pertengahan rendah.

 

Ekuinas berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan selain direka untuk mempercepat pembangunan syarikat ke arah menjadi lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menerima pelaburan menerusi model penciptaan nilai.

 

Pembangunan kapasiti itu merupakan teras ketiga dalam strategi pelbagai aset Ekuinas, melengkapkan portfolio sedia ada iaitu ekuiti persendirian dan kredit persendirian.

 

Inisiatif dalaman itu akan memilih sehingga tiga syarikat setiap tahun, dengan sasaran perniagaan yang mencatat hasil tahunan antara RM15 juta hingga RM50 juta serta mempunyai rekod operasi yang terbukti.

 

Program tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dengan memberi fokus kepada enam bidang teras iaitu strategi, kewangan, modal insan, jualan dan pemasaran, operasi serta kawal selia dan pematuhan.

 

Ia turut merangkumi intervensi bersasar bagi meningkatkan disiplin operasi, keberkesanan organisasi, kesiapsiagaan pelabur serta akses kepada modal.


 

solar

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar (gambar atas) berkata, banyak syarikat dalam segmen pasaran pertengahan rendah berdepan kekangan struktur, daripada hambatan operasi hingga jurang tadbir urus dan keupayaan pelaksanaan yang mengekang usaha pengembangan.

 

"Program itu bertujuan menangani jurang berkenaan dengan memperkukuh kepimpinan, memudah cara akses kepada modal serta menjadikan syarikat peserta bersedia menerima pelaburan, sekali gus membuka peluang modal baharu dan menembusi pasaran baharu," kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal berkata, kerjasama dengan Ekuinas menjadi titik perubahan penting yang akan mempercepat transformasi syarikat menjadi perniagaan yang lebih berskala dan bersedia untuk masa depan.

 

Ditubuhkan pada 1955, Kopi Hang Tuah ialah pengeluar kopi milik keluarga yang beroperasi terutamanya menerusi model pengedaran perniagaan kepada perniagaan (B2B), disokong oleh beberapa pusat pengedaran serantau. - DagangNews.com