Eksport minyak sawit negara susut 12.94% kepada 1.17 juta tan pada Januari 2025 - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport minyak sawit negara susut 12.94% kepada 1.17 juta tan pada Januari 2025 - MPOB

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Eksport minyak sawit Malaysia pada Januari 2025 menguncup 12.94% kepada 1.17 juta tan daripada 1.34 juta tan pada Disember 2024, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

MPOB berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan itu merosot sebanyak 16.8% (atau 249,864 tan), kepada 1.24 juta tan daripada 1.49 juta tan pada bulan sebelumnya.

 

"Keluaran isirong sawit turun 13.57% bulan ke bulan (MoM) kepada 290,883 tan pada Januari daripada 336,558 tan pada bulan sebelumnya.

 

 

“Pengeluaran minyak isirong sawit mentah merosot sebanyak 12.6% kepada 137,158 tan metrik daripada 156,926 tan metrik pada Disember, manakala kek isirung sawit turun sebanyak 12.16% kepada 151,813 tan metrik.

 

“Dari segi inventori, stok MSM menurun sebanyak 11.78% kepada 788,946 tan berbanding 894,330 tan pada Disember.

 

“Stok simpanan minyak sawit yang diproses lebih rendah sebanyak 2.9% kepada 790,817 tan metrik pada Januari 2025 daripada 814,426 tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

"Jumlah stok minyak sawit pula mengecil sebanyak 7.55% kepada 1.58 juta tan metrik daripada 1.71 juta tan metrik pada Disember," katanya dalam laporan industri bagi bulan Januari 2025. 

 


MPOB mencatat susutan ketara dalam eksport minyak isirong sawit sebanyak 40.85% kepada 56,737 tan pada Januari daripada 95,918 tan pada bulan Disember.

 

Eksport kek isirung sawit turun sebanyak 0.09% kepada 177,396 tan pada Januari daripada 177,553 tan pada bulan sebelumnya.

 

Bagaimanapun, eksport biodiesel melonjak 121.89% kepada 33,795 tan pada Januari daripada 15,231 tan sebelum ini, manakala eksport oleokimia pada bulan sama adalah lebih tinggi pada 232,567 tan, meningkat 4.08% daripada 223,447 tan pada Disember.

 

MPOB melaporkan tiada import MSM pada Januari, manakala jumlah import minyak isirong sawit turun sebanyak 72.04% kepada 5,673 tan metrik daripada 20,291 tan metrik pada bulan sebelumnya.- DagangNews.com