Eksport minyak sawit Mei 2025 naik 25.6%, hasil bertambah 5% - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport minyak sawit Mei 2025 naik 25.6%, hasil bertambah 5% - MPOB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun - Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 25.6 peratus kepada 1.39 juta tan pada Mei lalu berbanding 1.10 juta tan pada bulan sebelumnya. 

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, negara menghasilkan 1.77 juta tan minyak sawit mentah (MSM) pada Mei 2025, naik 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan pada April lalu.

 

"Pengeluaran biji sawit naik 2.8 peratus kepada 420,658 tan berbanding 409,097 tan pada April.

 

"Hasil minyak biji sawit mentah pula meningkat 19.2 peratus kepada 210,512 tan daripada 176,644 tan sebelum ini, manakala pengeluaran sisa biji sawit juga naik 20.1 peratus kepada 231,568 tan berbanding 192,857 tan," kata MPOB dalam dalam laporan prestasi industri terkini.

 

MPOB memaklumkan, stok MSM naik 4.8% kepada 1.10 juta tan pada Mei berbanding 1.05 juta tan pada April. 

 

Tambahnya, stok minyak sawit yang sudah diproses juga bertambah 9.0% kepada 888,343 tan daripada 814,673 tan.

 

"Jumlah keseluruhan stok minyak sawit pada Mei meningkat kepada 1.99 juta tan berbanding 1.87 juta tan pada bulan sebelumnya," jelasnya.

 

Untuk eksport, MPOB melaporkan minyak biji sawit yang dieksport naik 20.7% kepada 119,182 tan berbanding 98,743 tan pada April.

 

Eksport sisa biji sawit pula naik 37.3% kepada 193,328 tan berbanding 140,833 tan sebelum ini, sementara eksport oleokimia meningkat 6.0% kepada 232,683 tan berbanding 219,520 tan.

 

"Bagi biodiesel, eksportnya melonjak 39.3% kepada 32,848 tan berbanding 23,589 tan," ujar MPOB.

 

Tiada import MSM direkodkan pada Mei, manakala import minyak biji sawit turun 43.5% kepada 8,074 tan berbanding 14,287 tan pada April. - DagangNews.com