KUALA LUMPUR 25 Feb - Segmen eksport gas asli cecair (LNG) Bintulu Port Holdings Bhd dijangka berkembang dan kekal stabil pada 2025, kata AmInvestment Bank Research (AmInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, ini kerana subsidiari Petronas, loji Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) bermula operasi pada tahap optimum.
Terdahulunya, Bintulu Port mencatat untung bersih sebanyak RM40.88 juta pada 4QFY24, mewakili penyusutan 11.77% berbanding RM46.34 juta pada 2023.
Hasil Bintulu Port meningkat 8% YoY kepada RM156 juta, didorong oleh peningkatan eksport LNG dibantu oleh musim panas yang luar biasa panas di Jepun dan Korea Selatan.
AmInvest berkata, Bintulu Port dijangka menghadapi risiko penurunan perdagangan LNG akibat penggunaan domestiknya yang semakin berkurangan.
"Ini menimbulkan kebimbangan mengenai pembaharuan kontrak dalam jangka sederhana.
"Namun begitu, dalam jangka panjang, LNG kekal sebagai bahagian penting dalam campuran tenaga, berfungsi sebagai bahan api peralihan di tengah-tengah peralihan global ke arah tenaga yang boleh diperbaharui," katanya dalam satu nota kajian.
Dalam pada itu, firma tersebut berkata, prestasi kewangan FY24 kumpulan sejajar dengan ramalannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bintulu Port jatuh 11.77% kepada RM40.88 juta bagi 4QFY24
"Berdasarkan prestasi kewangan pada suku tersebut, kami telah menyemak turun unjuran hasil FY25 kumpulan sebanyak 5%, akibat sumbangan daripada Wenan Steel yang lewat disebabkan oleh isu pelesenan.
"Oleh itu kami mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham Bintulu Port dengan harga sasaran diturunkan kepada 5 sen daripada 15 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








