Ekonomi Malaysia pada 2Q25 diramal 4.5% didorong sektor perkhidmatan, pembuatan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia pada 2Q25 diramal 4.5% didorong sektor perkhidmatan, pembuatan - DOSM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Julai — Ekonomi Malaysia pada tempoh suku kedua 2025 menunjukkan anggaran awalan berkembang positif kepada 4.5 peratus, menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia juga meningkat sedikit berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya dengan disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

 

Tambahnya, perkembangan kukuh itu turut dijana oleh prestasi yang stabil dua sektor berkenaan, di samping berlaku peningkatan cukup ketara dalam sektor pembinaan dan pertanian di seluruh negara.

 

"Bagaimanapun sektor perlombongan dan pengkuarian kekal dalam aliran menurun," kata beliau dalam kenyataan sebagai merujuk Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 7/2025 yang diterbitkan hari ini.

 

Secara suku tahunan, ekonomi pulih dengan pertumbuhan 1.0 peratus selepas penguncupan 3.5 peratus pada suku tahun pertama, menjadikan pertumbuhan separuh tahun pertama 2025 sebanyak 4.4 peratus.

 

Angka ini kata Mohd Uzir, mengukuhkan lagi daya tahan Malaysia dan pertumbuhannya yang berterusan ke arah pengembangan ekonomi secara mampan dengan sektor pembuatan mengekalkan prestasi stabil.

 

Ia mencatatkan nilai jualan RM158.7 bilion pada Mei 2025, menunjukkan peningkatan 2.4 peratus tahun ke tahun (YoY), didorong pertumbuhan kukuh subsektor makanan, minuman & tembakau sebanyak 13.0%.

 

"Selain itu, sumbangan signifikan turut direkodkan daripada produk elektrik dan elektronik iaitu 5.0%, serta mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (3.7%)," tambah beliau.

 

Secara bulanan katanya, nilai jualan namun menurun 1.1 peratus daripada RM160.4 bilion pada April dan seiring aliran ini, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan pertumbuhan 0.3% YoY.

 

Mohd Uzir berkata, situasi itu dipengaruhi oleh aktiviti pembuatan yang perlahan, manakala sektor elektrik meningkat sedikit 0.4 peratus tetapi sektor Perlombongan terus menguncup 10.2 peratus.

 

Dari sudut yang positif, IPP meningkat 1.1 peratus bulan ke bulan (MoM), pulih daripada penurunan 8.0 peratus pada April, sekali gus memberi isyarat awal pemulihan dalam aktiviti perindustrian.

 

"Melihat sektor perkhidmatan secara luas, segmen perdagangan borong dan runcit merekodkan jumlah jualan RM154.3 bilion pada Mei 2025, pertumbuhan sebanya 4.4 peratus berbanding 2024," katanya.

 

Beliau menambah, ia didorong prestasi kukuh subsektor perdagangan runcit (4.9%) dan perdagangan borong (4.7%) selain subsektor kenderaan bermotor meningkat 1.2 peratus kepada RM19.0 bilion.

 

Secara MoM kata Mohd Uzir, nilai jualan perdagangan borong dan runcit pulih kepada 1.7 peratus, disokong pertumbuhan semua subsektor, terutama kenderaan bermotor yang melonjak 7.9 peratus.

 

Dari perspektif perdagangan luar negeri, jumlah dagangan Malaysia pada Mei 2025 bertambah 2.6 peratus YoY kepada RM252.5 bilion, dengan eksport menyusut 1.2 peratus kepada RM126.6 bilion.

 

"Import namun naik 6.6% kepada RM125.9 bilion. Secara bulanan, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing susut 3.6%, 5.2%, 2.0% dan 85.1%," tambahnya. - DagangNews.com