Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada Q1 2025 - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada Q1 2025 - BNM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Mei - Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada suku pertama tahun 2025 (Q4 2024: 4.9%), didorong terutamanya oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang stabil, menurut Bank Negara Malaysia hari ini.

 

Perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan menaik terhadap gaji minimum dan gaji penjawat awam.

 

Pengembangan aktiviti pelaburan adalah stabil disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan yang sedia ada. Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport perlombongan yang lebih rendah.

 

Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat (front-loading activities) dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.

 

Pada masa yang sama, pertumbuhan import, meskipun lebih sederhana, terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal. Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan.

 

Dari segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan Kerajaan yang lebih tinggi manakala pengeluaran E&E menyokong prestasi sektor perkilangan.

 

Walau bagaimanapun, penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor yang kembali menurun selepas prestasi yang kukuh sepanjang tiga tahun yang lalu masing-masing memberikan kesan terhadap pertumbuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan.

 

Secara keseluruhan, pertumbuhan turut terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.7% (Q4 2024: -0.2%).

 

Inflasi

Inflasi keseluruhan menurun, manakala inflasi teras meningkat sedikit Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5% pada suku pertama tahun 2025 (Q4 2024: 1.8%). Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0% (Q4 2024: 18.1%).

 

Keadaan ini susulan luputnya kesan daripada pelarasan tarif air terdahulu dan caj elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dengan penggunaan yang tinggi pada Q1 2024. Inflasi dalam perkhidmatan komunikasi mudah alih terus menurun, berpurata pada -13.5% (Q4 2024: -10%).

 

Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9% (Q4 2024: 1.7%). Peningkatan ini didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1% (Q4 2024: 1.7%).

 

Rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, mengalami kenaikan berikutan pelarasan harga yang lazimnya dilakukan pada awal tahun (seasonal menu price adjustments).

 

Namun begitu, kenaikan ini kekal jauh di bawah purata jangka panjang untuk suku pertama (43.3%; Q42024: 39.8%; Q1 2011-2019: 52.2%).

 

Ringgit

Ringgit kekal stabil secara keseluruhan berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku pertama tahun 2025 Pada suku pertama tahun 2025, ringgit kekal stabil secara keseluruhan.

 

Kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.01%. Ringgit juga menambah nilai sebanyak 0.8% berbanding dolar AS.

 

Pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang melemah kerana ketidakpastian berhubung dengan dasar perdagangan AS semakin meningkat. Hal ini menyebabkan peningkatan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan.

 

Faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. Meskipun begitu, prospek makroekonomi Malaysia yang positif serta pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit.

 

BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur. Pertumbuhan kredit meningkat berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih tinggi Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.5% pada suku pertama tahun 2025 (Q4 2024: 5.2%) berikutan pertumbuhan yang mampan bagi pinjaman terkumpul dan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih tinggi.

 

Pembiayaan

Pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 4.8% (Q4 2024: 5.1%), dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja.

 

Selain itu, permintaan untuk pembiayaan kekal menggalakkan, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan tahap permohonan yang mampan merentas tujuan pinjaman.

 

Pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 6.0% (Q4 2024: 5.9%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang secara amnya stabil bagi kebanyakan tujuan pinjaman.

 

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2025 akan terkesan oleh peningkatan ketegangan perdagangan dan ketidakpastian dasar yang ketara

Perkembangan yang pantas berubah berhubung dengan tarif perdagangan dijangka mempengaruhi prospek global untuk sepanjang tahun ini.

 

 

Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan secara langsung atau tidak langsung oleh tarif ini.

 

"Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka rendah sedikit berbanding dengan unjuran awal antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025.

 

"Ketidakpastian yang tinggi berhubung dengan keputusan rundingan perdagangan dan cara perdagangan global akan berubah susulan keputusan tersebut menyukarkan penilaian mengenai kesan yang sebenar terhadap pertumbuhan pada masa ini.

 

"Julat unjuran pertumbuhan ekonomi rasmi yang baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja faktor-faktor ini menjadi lebih jelas.”

 

Meskipun terdapat risiko luaran, pertumbuhan akan terus berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Keadaan ini memberikan penampan yang kukuh terhadap rintangan luaran.

 

Perbelanjaan isi rumah dijangka terus meningkat, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan.

 

Aktiviti pelaburan akan didorong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam, pelaksanaan berterusan pelaburan yang diluluskan dengan bahagian lebih besar oleh peserta dalam negeri dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.

 

Selain itu, permintaan terhadap barangan E&E yang berterusan, seiring dengan pendapatan daripada pelancongan yang lebih tinggi juga akan menampung pertumbuhan.

 

Prospek inflasi kekal bergantung pada keadaan global yang berubah-ubah dan langkah-langkah dasar dalam negeri Pada tahun 2025, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal dalam julat sederhana iaitu antara 2.0% hingga 3.5%, didorong oleh kos global yang terus menurun dan permintaan yang tidak berlebihan.

 

Sama seperti prospek ekonomi, sebarang perubahan pada unjuran inflasi akan dikeluarkan sebaik sahaja keadaan perkembangan luaran menjadi lebih jelas.

 

Harga komoditi global dijangka lebih rendah, lantas menyumbang kepada tekanan inflasi menurun selanjutnya.

 

Beberapa dasar berkaitan gaji yang baru diperkenalkan akan menyokong permintaan, walaupun kesan terhadap inflasi dijangka terhad. Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dijangka terkawal. - DagangNews.com