EITA Resources peroleh 3 tender berjumlah RM12 juta projek sistem lif di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EITA Resources peroleh 3 tender berjumlah RM12 juta projek sistem lif di Lembah Klang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 JulaiEITA Resources Berhad terus mengukuhkan kedudukan dengan anak syarikat miliknya memperoleh tiga surat penganugerahan kontrak bernilai keseluruhan kira-kira RM12 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, tender baharu tersebut sekali gus memperkukuh prospek pendapatan jangka sederhana terutamanya dalam industri sistem lif bangunan.

 

Eita Elevator (Malaysia) Sdn Bhd (EEM) menerima tiga surat bertarikh 30 April 2026 daripada sebuah syarikat bagi kerja-kerja membekal, memasang, menguji dan mentauliahkan sistem lif di sekitar Lembah Klang.

 

"Salah satu projek melibatkan pembangunan kediaman mewah di kawasan KLCC, yang dilihat mampu memperkukuhkan lagi rekod prestasi EEM dalam segmen pembangunan hartanah premium," jelas EITA.

 

Menurutnya, ketiga-tiga kontrak itu menetapkan tempoh pelaksanaan yang dijangka selesai dalam tiga tahun, tertakluk kepada pemuktamadan jadual kerja bersama pelanggan dikenali sebagai Company A.

 

Tambahnya, kontrak berkenaan dijangka menyumbang kepada aktiviti perniagaan kumpulan dalam tempoh pelaksanaan projek, sekali gus meningkatkan keterlihatan hasil pada tahun-tahun akan datang.

 

EITA_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, EITA berpandangan kontrak tersebut tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap prestasi pendapatan kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

 

"Keadaan ini disebabkan pengiktirafan hasil akan dibuat secara berperingkat mengikut kemajuan projek, selain tidak memberi impak terhadap modal saham atau pegangan saham syarikat," katanya.

 

Dari sudut risiko, kumpulan itu memaklumkan tiada risiko luar biasa dijangka timbul selain risiko operasi yang lazim dikaitkan dengan pelaksanaan projek pembinaan dan pemasangan sistem lif.

 

Sehubungan itu, pihak pengurusan EITA akan terus melaksanakan langkah mitigasi yang bersesuaian bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut spesifikasi, kos serta tempoh ditetapkan.

 

Syarikat turut menjelaskan tender itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan, serta tiada pengarah, atau pihak berkaitan terlibat secara langsung atau tidak langsung.

 

"Lembaga Pengarah berpandangan tender itu demi kepentingan terbaik syarikat kerana syarat dan terma yang dipersetujui adalah adil di samping memperkukuh kedudukan kumpulan," katanya. - DagangNews.com