KUALA LUMPUR 26 Jun — Eduspec Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Eduspec Technology Sdn Bhd hari ini berjaya memperoleh kontrak daripada SMT Technologies Sdn Bhd yang bernilai RM40 juta.
Kumpulan perkhidmatan teknologi tersebut berkata, kontrak terkini berkenaan melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perkhidmatan ujian bebas untuk modul optik 5G dan komponen lain yang berkaitan.
Menerusi kontrak itu, mereka perlu melakukan pelbagai ujian fungsi secara bebas termasuk menguji serta mengesahkan pemasangan papan litar bercetak optik 5G, penghala WiFi dan akses tanpa wayar.
"Kontrak tambahan tersebut adalah selama tempoh 12 bulan bermula daripada 1 April 2025," kata Eduspec dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Selain itu katanya, perlu menyediakan peralatan mencukupi untuk menyokong jumlah ramalan yang disediakan oleh SMT Technologies dengan tenaga kerja yang mencukupi dan berpengalaman.
Ini termasuk Ketua Kejuruteraan, jurutera dan juruteknik serta sumber pengurusan lain untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan selain tidak boleh menjual produk kepada pelanggan lain.
Eduspec juga tambahnya, tidak boleh menyerahkan atau sebaliknya memindahkan mana-mana atau semua hak dan kewajipannya kepada mana-mana pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis SMT terlebih dahulu.
"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham, aset bersih dan penggearan kumpulan," katanya.
Kontrak itu akan dibiayai menerusi dana yang dijana secara dalaman dan/atau pengumpulan dana, yang mana jika dilaksanakan, butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat. - DagangNews.com








