KUALA TERENGGANU 21 Julai – EPIC Berhad menjangkakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) khususnya pembinaan jajaran ke Pelabuhan Kemaman akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan syarikat dengan sasaran hasil mencecah RM700 juta menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Dr Muhtar Suhaili berkata projek penambakan tanah seluas 22 hektar yang sedang dilaksanakan bagi pembinaan jajaran ECRL untuk memasuki Pelabuhan Kemaman dijangka siap pada September depan.
Beliau berkata jajaran ECRL ke pelabuhan itu serta kerja penambakan berkenaan dijadual mula beroperasi pada 1 Jan 2027 selaras dengan perancangan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL).
"Jajaran ECRL ke Pelabuhan Kemaman merupakan 'game changer' kepada EPIC kerana akan meningkatkan ketersambungan pelabuhan ini dengan Pelabuhan Klang di Selangor, Pelabuhan Kuantan di Pahang dan Lembah Klang.
"Selain meningkatkan kecekapan logistik, EPIC juga merancang untuk memasuki segmen pengendalian kargo kontena iaitu perniagaan baharu yang akan melengkapkan operasi sedia ada yang kini tertumpu kepada kargo pukal kering dan kargo pukal am," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian National Training Week (NTW) 2026 di Ibu Pejabat EPIC Berhad di Kemaman hari ini.
Turut hadir Ketua Pejabat Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Terengganu Nurain Othman, Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC Suhana Kamaludin serta Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan EPIC Mohd Sukeri Muhammad.
Muhtar berkata EPIC merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak RM411.9 juta pada tahun lepas dan yakin projek pembesaran pelabuhan serta pembangunan berkaitan ECRL akan meningkatkan prestasi kewangan syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Penggunaan ECRL juga dijangka mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya, sekali gus menjadikan pergerakan kargo lebih pantas, cekap dan berdaya saing," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata EPIC turut memperluaskan kapasiti Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dengan pembinaan gudang baharu untuk memenuhi permintaan industri minyak dan gas.
Katanya KSB kini mempunyai 45 gudang dan dua lagi akan dibina tahun depan diikuti sebuah lagi pada tahun berikutnya.
"KSB kini menempatkan 262 penyewa termasuk Petroleum Arrangement Contractors (PACs) dengan kira-kira 9,000 tenaga kerja beroperasi setiap hari termasuk hampir 2,000 kakitangan EPIC," katanya.
Sementara itu Muhtar berkata projek Terminal Regasifikasi (RGT) Kemaman yang dianggarkan bernilai RM3.8 bilion berpotensi menjadi pemangkin pelaburan baharu sekiranya mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga.
Beliau berkata projek itu yang melibatkan pelabur antarabangsa dijangka merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Kemaman. – BERNAMA








