EcoWorld beli tanah komersial di Semenyih RM82.2 juta, perluas pembangunan Eco Radiance | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld beli tanah komersial di Semenyih RM82.2 juta, perluas pembangunan Eco Radiance

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Okt – Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mengumumkan anak syarikat milik 81%-nya, Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB), telah memeterai satu perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Boustead Balau Sdn Bhd (BBSB) untuk membeli sebidang tanah komersial pegangan bebas di Mukim Semenyih, Daerah Ulu Langat, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tanah yang berkeluasan kira-kira 92,000 meter persegi (sekitar 22.73 ekar) itu dibeli dengan harga tunai berjumlah RM82.19 juta, dan terletak bersebelahan dengan kawasan pembangunan baharu EcoWorld, iaitu perbandaran Eco Radiance.

 

BBSB merupakan anak syarikat milik penuh Boustead Properties Bhd (BProp), yang juga memegang 19% kepentingan dalam MBSB.

 

Menurut Lembaga Pengarah EcoWorld, pengambilalihan ini bertujuan mempertingkat perancangan induk Eco Radiance dan membuka peluang baharu bagi pembangunan komersial strategik.

 

Eco Radiance, yang diumumkan pada awal 2025, merupakan projek perbandaran ketiga EcoWorld di koridor pembangunan pesat Semenyih, melibatkan keluasan 847.25 ekar dan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.6 bilion.

 

"Dengan penambahan tanah baharu ini, jumlah GDV Eco Radiance dijangka meningkat kepada RM5.16 bilion, di mana tanah baharu ini sahaja menyumbang GDV awal dianggarkan RM560 juta." katanya.

 

EcoWorld merancang untuk membangunkan komponen komersial di atas tanah baharu ini, yang dijangka merangkumilot kedai komersial, pangsapuri servis dan unit kediaman di bawah siri EcoWorld's Duduk.

 

Pelancaran boleh dilakukan sebaik sahaja proses pengambilalihan dimuktamadkan, tertakluk kepada keadaan pasaran semasa.

 

Lembaga Pengarah yakin pengambilalihan ini akan menyumbang secara positif kepada pembangunan Eco Radiance, memberi impak langsung kepada pertumbuhan hasil kumpulan dan memanfaatkan pengalaman kukuh EcoWorld di kawasan Semenyih.

 

Pengurusan syarikat menjangkakan projek ini akan mendapat sambutan menggalakkan dari pasaran, sejajar dengan prestasi EcoWorld di kawasan sekitarnya sebelum ini. - DagangNews.com