KUALA LUMPUR 31 Jan - Syarikat pembinaan yang mengalami kerugian, Ecobuilt Holdings Bhd, mencadangkan pengurangan modal saham untuk menghapuskan kerugian terkumpulnya, serta penerbitan hak untuk mengumpul modal baru.
Syarikat itu berkata, langkah pengurangan modal tersebut akan melibatkan pengurangan RM35 juta daripada modal saham syarikat sebanyak RM67.96 juta.
"Langkah ini dijangka menghapuskan kerugian terkumpul syarikat sebanyak RM29.45 juta pada penghujung Ogos 2024, menjadikannya dengan pendapatan tertahan pro forma sebanyak RM5 juta," menurut pemfailan syarikat di bursa, baru-baru ini.
Sementara itu, Ecobuilt bercadang untuk menjalankan penerbitan hak sebanyak 420.72 juta saham dengan waran terpisah percuma, untuk mengumpul modal baharu selepas pengurangan modal.
Penerbitan hak tersebut akan dilakukan berdasarkan satu saham baharu untuk setiap satu saham yang dipegang, dengan satu waran untuk setiap saham hak yang dilanggan.
Harga terbitan bagi saham hak berkenaan akan ditentukan kemudian.
"Dengan mengandaikan harga terbitan dua sen setiap saham hak, pelaksanaan itu dijangka menghasilkan kutipan sehingga RM8.41 juta, dengan RM5.49 juta akan digunakan untuk modal kerja dan RM2.38 juta untuk pembayaran semula pinjaman," kata syarikat.
Tambah kenyataan tersebut, baki selebihnya akan digunakan untuk menampung kos langkah-langkah itu.
Sekiranya diluluskan oleh pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang, ia dijangka selesai menjelang suku kedua tahun 2025.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat untuk kedua-dua langkah berkenaan.
Ecobuilt mengalami kerugian selama tiga tahun kewangan berturut-turut.
Kerugian bersihnya untuk tempoh kewangan 15 bulan yang berakhir pada 31 Ogos 2024 (15MFY2024) adalah sebanyak RM46.2 juta. - DagangNews.com








