Eco-Shop rancang buka 90 kedai baharu FY26, penarafan BELI dikekalkan - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eco-Shop rancang buka 90 kedai baharu FY26, penarafan BELI dikekalkan - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Jan – Eco-Shop Marketing Bhd, peruncit barangan rumah harga mampu milik berada di landasan pengembangan dengan rancangan untuk membuka sehingga 90 kedai baharu dalam tahun kewangan 2026 (FY26), menurut UOB Kay Hian Research (UOBKH Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain itu Eco-Shop juga merancang memperbaharui sehingga 20 kedai sedia ada pada tahun ini.

 

Menurut UOBKH, pertumbuhan jualan kedai sedia ada (same store sales growth, SSSG) Eco-Shop mencatatkan penurunan 12.7% tahun ke tahun pada suku pertama FY26 (1Q26), susulan sentimen pengguna yang lemah, kesan pelarasan harga, serta kekurangan stok bagi produk utama.

 

Faktor lain termasuk kesan asas tinggi daripada suku sebelumnya yang mencatat pertumbuhan dua digit yang kukuh.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan SSSG bagi suku kedua FY26 akan menunjukkan sedikit peningkatan berikutan pemulihan bekalan daripada pembekal utama biskut dan roti.

 

“Kami mengekalkan unjuran SSSG FY26 pada -6% memandangkan prestasi bulanan telah menunjukkan peningkatan dan isu rantaian bekalan telah diselesaikan,” menurut UOBKH.

 

Dalam pada itu, margin kasar Eco-Shop yang sekitar 31.8% pada 1Q26 dijangka dapat dikekalkan, disokong oleh pengukuhan ringgit berbanding yuan serta campuran produk yang menguntungkan.

 

Selain itu, promosi harga bagi produk makanan dan minuman juga telah berakhir, yang dijangka menyokong margin syarikat pada suku akan datang.

 

Seiring dengan prospek pengembangan ini, UOBKH mengekalkan penarafan Beli bagi Eco-Shop dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.70 sesaham, mencerminkan keyakinan terhadap pertumbuhan pendapatan syarikat jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com