Dua pengarah saman DFCity, cabar pelantikan dan kuasa lembaga pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua pengarah saman DFCity, cabar pelantikan dan kuasa lembaga pengarah

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Dua pengarah DFCity Group Bhd, Datuk Dr Li Wei dan Zhang DanDan, telah memulakan prosiding undang-undang terhadap syarikat itu dan seorang lagi pengarah, Low Kim Kiat, bagi mencabar beberapa keputusan penting lembaga pengarah.

 

Saman yang difailkan pada 13 Ogos itu bertujuan membatalkan resolusi bertulis pengarah (Directors’ Resolutions In Writing, DRIWs) berhubung pelantikan pengarah bebas bukan eksekutif, pertukaran wakil korporat bagi semua anak syarikat serta penukaran jawatan Low daripada pengarah eksekutif kepada pengarah urusan.

 

Plaintif turut memohon injunksi sementara bagi menghalang syarikat, lembaga pengarah dan wakilnya daripada melaksanakan keputusan berkenaan sehingga kes selesai.

 

Berdasarkan laporan tahunan terkini DFCity, antara pemegang saham utama syarikat itu termasuklah Low Kim Kiat dengan pegangan 28.08% melalui syarikat Paddingtons Hospitality Sdn Bhd.

 

Selain itu, Datuk Dr Li Wei memegang 24.82% menerusi Shi Ji Dong Fang (M) Sdn Bhd, Zhang DanDan pula memiliki 12.88% melalui Swooea Technology Sdn Bhd serta Datuk Low Kim Hock dengan 5.42%.

 

DFCity Group Berhad, yang dahulunya dikenali sebagai Hock Heng Stone Industries Berhad, merupakan syarikat pegangan pelaburan tersenarai di Bursa Malaysia dengan kepakaran dalam pengeluaran dan perdagangan batu hiasan seperti granit, marmar, pasir batu dan slate untuk kegunaan fasad bangunan, lantai, tangga, tiang, perabot, taman dan landskap.

 

Aktiviti perniagaannya merangkumi jualan produk, pembinaan, pembangunan hartanah dan pelaburan pegangan. Syarikat ini mempunyai kilang pembuatan di Melaka serta kemudahan jualan dan pemprosesan sekunder di Subang, Selangor.


DFCity dalam makluman di Bursa Malaysia, menyatakan syarikat telah melantik peguam dan yakin sepenuhnya prosiding undang-undang tersebut adalah remeh dan tidak berasas, sambil menegaskan akan berjuang habis-habisan mempertahankan hak syarikat serta pemegang kepentingannya. - DagangNews.com