DRB-Hicom kaji buka kilang pemasangan Proton, Modenas di Algeria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DRB-Hicom kaji buka kilang pemasangan Proton, Modenas di Algeria

Bangunan Perhimpunan Kebangsaan Rakyat (Parlimen) di Algiers, ibu negara Algeria. — AFP/Getty Images

KUALA LUMPUR 15 Julai – DRB-Hicom Berhad sedang menilai potensi untuk membuka pusat pemasangan kenderaan di Algeria sebagai langkah memperluaskan operasi automotifnya ke rantau Afrika Utara yang mempunyai prospek pertumbuhan yang semakin menarik.

 

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan berkenaan meneroka peluang baharu di luar pasaran domestik, khususnya menerusi pengembangan jenama automotif tempatan seperti Proton dan Modenas ke pasaran antarabangsa.

 

Duta Besar Malaysia ke Algeria, Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata, perancangan tersebut kini memasuki fasa penilaian awal selepas DRB-Hicom menjalankan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan di Algeria.

 

Beliau berkata, antara perkara yang diberi perhatian termasuk kajian terhadap potensi pasaran, peluang kerjasama industri, persekitaran perniagaan serta rangka peraturan dan percukaian dalam sektor automotif Algeria.

 

“DRB-Hicom telah bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi kemudahan pemasangan tempatan, manakala Proton bersedia menyokong pemindahan teknologi dan latihan kemahiran kepada tenaga kerja Algeria,” katanya.

 

Menurut beliau, langkah tersebut turut menyokong usaha Malaysia memperkukuh hubungan industri dengan Algeria, seiring dengan aspirasi kerajaan negara itu yang mahu membangunkan ekosistem pembuatan kenderaan tempatan.

 

Baru-baru ini, barisan pengurusan kanan DRB-Hicom termasuk wakil daripada Proton dan Modenas mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Algeria bagi membincangkan potensi projek serta peluang pelaburan dalam sektor automotif.

 

Dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung Kementerian Perindustrian Algeria, Kheireddine Benaissa menerangkan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan negara tersebut bagi menarik pelaburan asing, termasuk insentif berkaitan cukai.

 

t

 

Antara tawaran yang diberikan ialah pelepasan cukai selama 10 tahun ketika tempoh pelaksanaan projek serta pengecualian cukai keuntungan syarikat selama lima tahun selepas operasi bermula, dengan syarat projek mencapai tahap kandungan tempatan sebanyak 30% dalam tempoh lima tahun.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Promosi Pelaburan Algeria, Omar Rekkache menyambut baik kemungkinan kemasukan Proton dan Modenas ke pasaran Algeria serta menyatakan kesediaan pihaknya membantu proses pelaburan tersebut.

 

Rizany Irwan berkata, fokus Algeria untuk membangunkan industri automotif domestik memberikan peluang strategik kepada syarikat automotif Malaysia, terutama dengan potensi akses lebih luas ke pasaran serantau menerusi perjanjian perdagangan bebas yang dimiliki negara itu.

 

Selain projek kenderaan, peluang kerjasama turut terbuka dalam segmen motosikal apabila syarikat pengedaran Algeria, Sodivem menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Modenas menerusi model usaha sama (JV).

 

Dalam masa sama, LaBelle Group dan DRB-Hicom turut meneroka idea kerjasama bagi membangunkan projek motosikal Modenas yang bukan sahaja menyasarkan pasaran Algeria, malah berpotensi menjadi platform eksport ke pasaran Afrika Barat.

 

LaBelle Group dijangka mengadakan lawatan ke fasiliti pengeluaran Modenas di Malaysia dalam tempoh terdekat bagi melihat keupayaan operasi serta menilai potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan.

 

Selain itu, Automotive Plant Algeria turut mengadakan perbincangan dengan DRB-Hicom mengenai kemungkinan menggunakan kemudahan sedia ada syarikat tersebut di wilayah Oran, barat laut Algeria, sebagai lokasi pemasangan kenderaan Proton.

 

Sekiranya direalisasikan, projek berkenaan berpotensi menjadi langkah penting bagi DRB-Hicom memperkukuh kehadiran globalnya, selain membuka laluan baharu kepada Proton dan Modenas untuk menembusi pasaran Afrika yang lebih luas. – BERNAMA