DRB-HICOM catat untung bersih RM589 juta bagi FY25, naik 457% disokong sumbangan semua segmen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DRB-HICOM catat untung bersih RM589 juta bagi FY25, naik 457% disokong sumbangan semua segmen

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 MeiDRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM588.76 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, naik 456.6% berbanding hanya RM105.77 juta pada FY24. 


Peningkatan ketara prestasi ini didorong sumbangan stabil daripada semua segmen operasi, dengan mobiliti kekal sebagai pemacu utama melalui pelaksanaan strategi berdisiplin serta transformasi mampan.


Selain itu jelasnya, bagi tempoh tersebut, kumpulan berkenaan mencatatkan pendapatan sebanyak RM17.31 bilion, meningkat 6.9% berbanding RM16.19 bilion pada tahun kewangan yang sebelumnya.


"Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga menunjukkan kenaikan secara drastik kepada RM653.88 juta, berbanding RM247.39 juta bagi FY24," tambah DRB-HICOM menerusi makluman kepada Bursa Malaysia.


Segmen mobiliti yang menggabungkan kepentingan automotif, aeroangkasa, dan pertahanan, menyumbang sebanyak RM12.79 bilion atau kira-kira 73.9% daripada jumlah keseluruhan pendapatan kumpulan.
 

Antaranya PROTON mencatatkan jualan 157,976 unit, disokong oleh kepimpinan dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) melalui model Proton e.MAS 7 sebagai EV paling laris di Malaysia sepanjang 2025.


Sementara CTRM melakar pencapaian bersejarah melalui usaha pengambilalihan Spirit Malaysia, yang melonjakkan statusnya sebagai pembekal Tahap 1 kepada gergasi pesawat global, Airbus dan Boeing.


DRB-Hicom_DagangNews


"Bank Muamalat dalam segmen perbankan mencatatkan pendapatan RM2.21 bilion, diperkukuh dengan pelancaran ATLAS, iaitu bank digital patuh Syariah pertama di negara ini," tambah kumpulan itu.


Dalam pada itu ujar DRB-HICOM, Pos Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.80 bilion di sebalik landskap pasaran kurier yang mencabar melalui pelbagai inisiatif transformasi tahun lalu.


Begitu juga jelasnya, segmen hartanah yang mencatatkan pendapatan mencecah RM299.21 juta, manakala segmen perkhidmatan, termasuk Puspakom dan DHU, berjaya menyumbang kira-kira RM214.29 juta.


Berdasarkan perkembangan positif tersebut, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan mengumumkan cadangan pengagihan dividen akhir yang dijangka sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan itu.


"Melangkah ke hadapan, DRB-HICOM akan terus menumpukan usaha kepada pengukuhan ekosistem EV, memacu pembuatan bernilai tinggi, dan mempercepatkan penggunaan teknologi digital," katanya.


Langkah berkenaan tambah kumpulan itu, dilaksanakan untuk meningkatkan lagi daya tahan syarikat dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global semasa. - DagangNews.com