DNeX, Shanghai E&P jalin kerjasama bangunkan inisiatif perdagangan digital Malaysia-China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX, Shanghai E&P jalin kerjasama bangunkan inisiatif perdagangan digital Malaysia-China

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Mei — Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melalui anak syarikatnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd, menjalinkan kerjasama dengan Shanghai E&P International Inc dalam inisiatif perdagangan digital utama antara Malaysia dan China.


Kerjasama itu susulan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini, dengan menekankan komitmen yang diperbaharui untuk mengeratkan hubungan dua hala serta mengukuhkan kerjasama ekonomi dan digital antara kedua-dua negara.


Kedua-dua pihak menerusi perjanjian dimeterai di Shanghai hari ini, akan memberi tumpuan kepada tiga bidang, antaranya keterlihatan pergerakan logistik kargo laut rentas sempadan serta membolehkan penilaian jejak karbon di pelabuhan.


"Selain itu, pengukuhan kerjasama bagi kemudahan rentas sempadan dalam proses dua negara untuk mencapai pelepasan serta mewujudkan ketersambungan dengan Shanghai dan pelabuhan lain di China," kata DNeX dalam satu kenyataan.


Bidang terakhir pula tambah kumpulan tersebut, melibatkan kemudahan pertukaran dokumen perdagangan secara lancar untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan dalam kedua-dua proses perdagangan dan bukan perdagangan rentas sempadan.


Pemeteraian perjanjian berkenaan dilaksanakan antara Ketua Pegawai Eksekutif DNeX, Faizal Sham Abu Mansor, manakala Shanghai E&P International pula diwakili oleh Naib Pengurus Besar Eksekutifnya, Wei Xiaoming.


Menjelaskan lanjut, kumpulan itu berkata, inisiatif diterokai tersebut ada potensi kukuh bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, memperdalamkan integrasi perdagangan digital, dan mengukuhkan ketersambungan kedua-dua negara.


"Usaha ini membawa keterlihatan lebih baik, kecepatan masa, pengurangan pelepasan karbon dan penjimatan kos dengan memanfaatkan pendigitalan serta ketersambungan, yang meminimumkan ralat manual dan mengoptimumkan operasi," katanya.


Shanghai E&P International dipilih kerana ia merupakan syarikat milik kerajaan dan menyokong pelanggan melalui penerokaan nilai data menerusi penawaran perkhidmatan serta rumusan yang direka bagi memenuhi keperluan berorientasikan pasaran.


Sementara itu, Faizal Sham berkata, perkongsian itu membuka peluang baharu perdagangan dan pertukaran rentas sempadan lancar, menyediakan perniagaan dengan proses diperkemas, ketelusan rantaian bekalan dan kecekapan operasi lebih baik.


"Ia menandakan satu langkah penting ke arah ekosistem perdagangan berhubung dan cekap dengan menerima inovasi digital, selain kami meningkatkan keterlihatan logistik serta menyokong kerjasama ekonomi lebih mendalam bersama China," katanya.


Platform Dagang Net dengan lebih 45,000 pengguna, akan menawarkan akses lebih luas kepada alatan perdagangan digital, ketelusan rantaian bekalan dipertingkatkan, dan penyepaduan lancar kepada rangkaian perdagangan utama di China. - DagangNews.com