Dividen sekitar 6% dijangka menjadi pemangkin sokongan harga saham Gas Malaysia, menurut penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dividen sekitar 6% dijangka menjadi pemangkin sokongan harga saham Gas Malaysia, menurut penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Nov - Gas Malaysia Bhd (GMB) mencatat keputusan suku ketiga 2025 (3Q25) yang selari dengan jangkaan pasaran, walaupun keuntungan bersih menunjukkan penurunan berikutan faktor kos dan sumbangan lebih rendah daripada usaha sama, menurut penganalisis pasaran saham.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, syarikat itu kekal berdepan tekanan pendapatan dalam tahun kewangan 2025, namun dividen sekitar 6% dijangka menjadi pemangkin utama sokongan kepada harga saham.

 

Sehubungan itu Maybank IB mengekalkan saranan HOLD, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM4.00, berdasarkan penilaian DCF.

 

Firma penyelidikan itu berkata, GMB melaporkan keuntungan bersih RM95 juta bagi 3Q25, susut 18% YoY dan 4% QoQ, menjadikan jumlah 9M25 kepada RM294 juta (-10% YoY). Ini bersamaan 71%–72% daripada jangkaan tahun penuh penganalisis dan konsensus.

 

"Walaupun spread perniagaan dianggarkan kekal stabil, keuntungan bersih terjejas oleh susut nilai lebih tinggi, caj cukai meningkat, serta pendapatan JV lebih rendah. Seperti kebiasaan, tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank, GMB melaporkan volum jualan meningkat QoQ berikutan normalisasi bekalan gas selepas gangguan kebakaran Putra Heights pada suku sebelumnya. Bagaimanapun, volum masih lebih rendah YoY.

 

Spread 3Q25 dianggarkan sekitar RM5.10/mmBTU, hampir tidak berubah berbanding suku sebelumnya meskipun harga gas menurun. Pemerhatian turut menunjukkan yuran tol (termasuk pemulihan hasil pengagihan) sedikit meningkat QoQ.

 

Oleh itu GMB dijangka mencatat penyusutan pendapatan bagi FY25, sejajar trend harga gas domestik yang lazimnya ketinggalan antara 6–7 bulan daripada pergerakan harga minyak mentah global.

 

 

Dalam masa yang sama, penilaian dan unjuran pendapatan bagi FY26 diteruskan tanpa perubahan, dengan andaian harga gas kekal stabil.

 

"Dengan andaian nisbah pembayaran dividen 81%, GMB dijangka mengekalkan DPS pada paras FY24, menawarkan hasil dividen sekitar 6%, sekali gus membantu mengimbangi ketiadaan pertumbuhan pendapatan dalam masa terdekat," katanya.

 

Sementara itu CGS International (CGSI) turut mengekalkan saranan Hold terhadap GMB dengan TP berasaskan DCF sedikit lebih tinggi pada RM4.30 apabila firma itu melanjutkan penilaian satu tahun ke hadapan.

 

"Walaupun saham ini tidak mempunyai pemangkin pertumbuhan yang ketara buat masa ini, ia menawarkan hasil dividen menarik melebihi 5% untuk FY25-27F, yang disokong oleh penyata kewangan kukuh dan aliran tunai bebas (FCF) yang sihat," kata firma itu.

 

CGSI berkata, GMB juga memiliki kesimbangan risiko kenaikan dan penurunan.


Risiko kenaikan:

  1. Pulangan/capex yang lebih tinggi bagi tempoh peraturan akan datang (RP3: 2026F-2027F), yang akan memberi kesan positif kepada aliran pendapatan pengedaran gas terkawal GMB;

  2. kejayaan bidaan untuk terminal regasifikasi baru (keputusan dijangka diketahui pada 2026), yang boleh mengubah dengan ketara unjuran keuntungan kumpulan; dan

  3. volum jualan lebih tinggi daripada jangkaan yang diterjemahkan kepada keuntungan lebih tinggi bagi perniagaan penghantaran bukan terkawal.

 

Risiko penurunan:

  1. Perubahan tidak menguntungkan dalam parameter utama di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR); dan

  2. kelemahan berterusan harga minyak yang menyebabkan kecenderungan penurunan keuntungan bagi perniagaan penghantaran kumpulan.

 

"Kami melihat keseimbangan risiko adalah neutral, dengan hasil dividen melebihi 5% memberikan sokongan kukuh kepada harga saham," kata firma itu. - DagangNews.com