Dividen Public Bank diunjur naik kepada 21 sen sesaham walaupun terkesan daripada kerugian Public Financial - Maybank IB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dividen Public Bank diunjur naik kepada 21 sen sesaham walaupun terkesan daripada kerugian Public Financial - Maybank IB 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pembayaran dividen akhir sesaham (DPS) Public Bank Bhd dijangka naik kepada 21 sen sesaham bagi FY24 berbanding 19 sen pada FY23, berdasarkan nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET-1) yang kukuh selepas pengambilalihan LPI Capital Bhd.

 

Bagaimanapun, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan prestasi kewangan suku keempat Public Bank terkesan daripada kerugian Public Financial Holdings (PFH). 

 

Public Financial Holdings (PFH) ialah anak syarikat milik 73.2% Public Bank.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan pelaburan berpangkalan di Hongkong itu melaporkan rugi bersih HKD999.4 juta atau RM581 juta pada FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerugian PFH memberi kesan kepada pendapatan FY24 Public Bank sebanyak 6%.

 

Walaubagaimanapun, Maybank IB berkata, bank itu mampu menguruskan kesan tersebut berdasarkan kedudukan kewangannya yang teguh. 

 

"Kerugian PFH hanya akan menjejaskan unjuran ramalan Public Bank sebanyak 1.1%.

 

"Public Bank masih mempunyai RM1.5 bilion dan pelarasan kewangan positif berterusan yang boleh membantu mengimbangi kerugian daripada PFH," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Dalam pada itu, Maybank IB menjangkakan pembayaran dividen kumpulan itu sebahagian besarnya tidak berubah.

 

"Oleh itu, kami menetapkan saranan beli ke atas saham Public Bank dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.20," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara risiko menjejaskan saranannnya terhadap Public Bank termasuk kelembapan ekonomi Malaysia. 

 

"Terutamanya bank runcit, sebarang kelembapan dalam penggunaan domestik akan menjejaskan permintaan pinjaman," katanya. - DagangNews.com