KUALA LUMPUR 27 Mac – Pengagihan dividen sebanyak 5% serta bonus dividen 0.25% bagi tahun kewangan 2024 oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mencerminkan prestasi tadbir urus yang lebih baik dan dasar ekonomi jitu Kerajaan MADANI.
Penganalisis ekonomi, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, konglomerat besar seperti LTAT sebaiknya mengekalkan prestasi yang unggul bagi menjadi contoh kepada firma yang bersaiz kecil.
ARTIKEL BERKAITAN: LTAT isytihar dividen 5.25%, tertinggi dalam tujuh tahun
“Pencapaian itu juga menggambarkan prestasi ekonomi negara berada dalam keadaan bagus dengan pengurus-pengurus dana berupaya mengoptimumkan pulangan pulangan mereka.
“Kadar faedah masih munasabah dan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dan disokong oleh indikator lain seperti pengangguran dan inflasi terkawal,” kata beliau yang merupakan pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia.
Muhammad Ridhuan berkata petunjuk pilihan pelaburan yang memberi pulangan seperti minyak dan, teknologi dan dasar fiskal kerajaan juga menyokong sentimen pelaburan dan kekal berdaya saing dan stabil.

“Sektor luar serta eksport mencatatkan peningkatan... angka dagangan turut meningkat serta kadar pertukaran matawang yang munasabah walaupun berlaku gangguan sekali sekala dengan dolar US.
“Semua faktor ini menyumbang kepada prestasi LTAT bagi tahun lepas,” katanya kepada DagangNews.
Keuntungan bersih meningkat 24% kepada RM587.5 juta, dengan jumlah pendapatan berkembang 2.5% kepada RM752.6 juta pada 2024.
Aset di bawah pengurusan meningkat kira-kira 4% kepada RM13.6 bilion. Rizab gabungan melonjak 161% kepada RM1.01 bilion, tahun ketiga berturut-turut rizab dana itu meningkat dua kali ganda.
Aset strategik menyumbang 56% daripada RM13.06 bilion di bawah pengurusan manakala di luar aset strategik, portfolio LTAT terdiri daripada hartanah pada 11.8%, ekuiti awam pada 9.4%, pendapatan tetap pada 9.3%, ekuiti persendirian pada 7.8%, dan tunai dan instrumen pasaran wang pada 5.8%.
LTAT sedang berusaha untuk meningkatkan peruntukan aset pendapatan tetapnya kepada 20%-25%, sambil mempertimbangkan dana ekuiti persendirian dan bukannya pelaburan langsung semasanya dalam ekuiti persendirian.

Tahun lepas, aset strategik LTAT menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak 5.63%, diikuti oleh hartanah pada 3.91%, ekuiti awam pada 6.2%, pendapatan tetap pada 4.97%, dan ekuiti swasta pada 13.79%. Secara keseluruhan, pulangan gabungan dana ialah 5.82% untuk 2024.
Jumlah agihan LTAT pada tahun ini bernilai RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada tahun 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan.
Agihan ini memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5%, mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.

Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Geoffrey Williams berkata, prestasi dana LTAT mesti mampu menampung kos pencen untuk bekas kakitangan tentera. Ini adalah teras misi mereka dan selama bertahun-tahun mereka telah berprestasi rendah.
“Di bawah kerajaan Madani, mereka telah dikehendaki menyusun semula dan menukar pendekatan pelaburan mereka bagi mengurangkan beban pelaburan yang kurang berprestasi, terutamanya pelaburan GLC jangka panjang dan memberi tumpuan kepada pulangan yang lebih baik,’ kata beliau lagi.
Williams berkata langkah yang telah diambil LTAT memberikan hasil positif tetapi dana masih terlalu kecil dan pulangan masih terlalu rendah untuk menampung liabiliti pencen jangka panjang.
“Jadi, walaupun terdapat peningkatan, ia mesti dikekalkan dalam jangka panjang dengan perhatian berterusan terhadap pulangan kewangan yang berkualiti tinggi dan mampan,” kata beliau lagi. - DagangNews.com








