"Diugut bunuh, dimalukan di media sosial, diarah melapor diri lima kali sehari" - Mangsa scammer cerita detik menakutkan dalam hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

"Diugut bunuh, dimalukan di media sosial, diarah melapor diri lima kali sehari" - Mangsa scammer cerita detik menakutkan dalam hidup

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – Kes penipuan siber kini semakin licik, menggunakan peralatan canggih, dokumen palsu yang direka seolaholah dokumen rasmi serta pelbagai taktik baharu untuk memerangkap mangsa.

 

Kombinasi faktor itu  menyebabkan rakyat Malaysia mudah tertipu apatah lagi wujudnya penglibatan ‘pihak berkuasa’ seperti polis, peguam serta pelbagai akta perundangan yang memberikan ilusi bahawa ia sah dan menimbulkan ketakutan kepada mangsa, kononnya mereka melakukan jenayah.

 

Seorang ibu tunggal berusia 47 tahun berputih mata apabila wang simpanannya, tiga anak serta peninggalan arwah suaminya berjumlah RM180,000 lesap akibat helah scammer.

 

 

 

 

 

 

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Lin berkata, kejadian itu bermula pada Jun lalu apabila menerima panggilan tidak dikenali yang mendakwa sebagai ejen insurans.

 

Lin dikatakan telah membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM40,000 namun apabila beliau menafikan, suspek terus berjanji untuk membuat siasatan terperinci.

 

“Tidak lama kemudian, saya diberitahu bahawa nama saya telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab dan kes itu disambungkan kepada pihak polis untuk siasatan lebih lanjut.

 

“Perasaan ketika itu memang sangat takut kerana ini pertama kali saya dikaitkan dengan perlakuan jenayah. Hati berdebar-debar setiap kali dihubungi pegawai polis yang memaklumkan ‘perkembangan siasatan’.

 

MCMC SCAM1

 

“Akhirnya saya disaman atas kesalahan menipu pihak insurans dan perlu membayar sejumlah amaun untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa perlu pergi ke mahkamah,” katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.

 

Menurut Lin, semua dokumen yang dihantar kelihatan sangat asli kerana lengkap dengan logo rasmi, nombor rujukan, tandatangan dan cop jabatan pihak berkuasa.

 

“Sepanjang empat bulan hingga Oktober, saya diarahkan untuk membuat pelbagai jenis bayaran secara berperingkat untuk menyelesaikan kes saman tersebut.

 

“Memang ada terdetik di hati untuk menceritakan masalah itu kepada kawan-kawan atau adik beradik namun saya diancam pelbagai ugutan yang sangat menakutkan kerana melibatkan keselamatan nyawa sendiri dan ahli keluarga.

 

“Hingga satu tahap, saya terpaksa melaporkan keberadaan diri sebanyak lima kali sehari kepada ‘pegawai polis’ tersebut atas alasan tidak mahu saya melarikan diri selagi saman tidak selesai,” katanya yang mengakui tempoh empat bulan itu sebagai pengalaman paling pahit dalam hidupnya setakat ini.

 

Disebabkan tidak lagi mempunyai wang simpanan untuk menyelesaikan bayaran saman itu, Lin akhirnya menceritakan masalah tersebut kepada sepupunya dan baru lah dia tersedar telah menjadi mangsa penipuan siber.

 

MCMC Scamm2

 

Komisen Tinggi, Ingin Bantu Keluarga 

Berlainan pula dengan kisah melibatkan seorang pelajar universiti awam di Pantai Timur yang kerugian RM3,400 akibat tawaran komisen untuk mencari sumber kewangan menampung hidup di kampus.

 

Haiqal yang baru berusia 18 tahun berkata, dia tertarik melihat satu iklan di Instagram pada April 2025 lalu yang menjanjikan komisen tinggi untuk setiap tugasan dilaksanakan.

 

Hasratnya untuk mencari duit poket tanpa menyusahkan ibu bapa yang berpendapatan sederhana menyebabkan Haiqal menekan pautan dan mengisi nombor telefon serta kad pengenalan.

 

Tidak lama selepas itu, scammer menghubunginya dengan tawaran “duit tambahan” melalui tugasan membeli kasut di aplikasi tertentu.

 

Haiqal berkata, tugasan pertama memerlukan dia membuat bayaran RM100 untuk membuat pesanan kasut tersebut dan selepas tugasan, dia diberi komisen RM300.

 

Teruja dengan keuntungan mudah dan pantas itu, pelajar yang berasal dari Terengganu itu menyambung tugasan kedua dengan membayar RM500 untuk kasut kedua dan diberi komisen RM1,000.

 

“Seterusnya saya ‘dinaikkan pangkat’ dan perlu membayar RM1,500 untuk tugasan seterusnya yang memberikan pulangan RM2,000 namun saya gagal mendapatkannya kerana dikatakan berlaku kesilapan dalam tugasan.

 

mcmc scam3

 

“Untuk membetulkan kesilapan itu, saya perlu membayar lagi RM500 dan sejak itu saya mula mengikat perut berlapar untuk memastikan tugasan itu dapat disempurnakan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

 

Haiqal turut diugut oleh scammer tersebut kononnya akan dimalukan di media sosial sekiranya gagal melunaskan bayaran tersebut namun dia mula berasa pelik dan berkongsi masalah dengan rakan sebiliknya.

 

“Akhirnya saya menelefon ibu bapa dan menceritakan perkara sebenar kerana malu hendak meminjam wang dari kawan-kawan.

 

“Memang RM3,400 itu hanya sedikit bagi sesetengah orang tapi jumlahnya terlalu besar untuk keluarga kami dan saya menyesal kerana bersikap tamak yang akhirnya merugikan diri sendiri,” katanya yang kini sering menasihati rakan seusia agar tidak terjebak dengan jerat scammer.

 

Menangani Panggilan Tidak Dikenali

Menjejaki kegiatan scammer ini kebanyakan kes bermula daripada panggilan tidak dikenali. Sehubungan itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan oleh pihak yang tidak dikenali .

 

Jika menghadapi situasi seperti itu orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call or reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.

 

Orang ramai digalakkan memberitahu pasangan, rakan atau ahli keluarga tentang panggilan yang diterima.

 

mcmc scamm4

 

Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, perkara tersebut boleh dilaporkan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, yang beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam untuk tindakan selanjutnya.

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama, orang ramai boleh melayari portal Sebenarnya.my untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak ditentusahihkan.

 

Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain. - DagangNews.com