Digital Nasional tolak notis penamatan TM, perjanjian akses 5G kekal sah hingga 2032 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Digital Nasional tolak notis penamatan TM, perjanjian akses 5G kekal sah hingga 2032

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac – Digital Nasional Bhd (DNB) menegaskan kontrak jangka panjang Perjanjian Akses Rangkaian Borong 5G dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) kekal sah dan boleh dikuatkuasakan, sekali gus menolak notis penamatan yang dikemukakan syarikat itu baru-baru ini.

 

DNB dalam kenyataan berkata perjanjian akses dengan TM berkuat kuasa sehingga Oktober 2032 dan mengandungi syarat khusus yang mengawal selia penamatan awal.

 

Menurut syarikat infrastruktur 5G disokong kerajaan itu lagi, TM tidak melaksanakan hak penamatan awal selaras dengan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

 

“Berdasarkan perkara ini, DNB tidak menerima notis penamatan Perjanjian Akses oleh TM. Sementara itu, perjanjian tersebut kekal sah, mengikat dan boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Artikel Berkaitan: Telekom Malaysia meterai aturan borong 5G MOCN bersama U Mobile, tamatkan akses dengan DNB

 

DNB turut memaklumkan akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingannya dan mengekalkan semua hak di bawah perjanjian serta undang-undang.

 

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman TM minggu lalu bahawa syarikat berkenaan telah menggunakan hak kontraktualnya untuk menamatkan perjanjian akses borong 5G dengan DNB sebagai sebahagian daripada langkah menyertai perjanjian baharu Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (Multi-Operator Core Network) 5G dengan U Mobile Sdn Bhd.

 

DNB menegaskan pihaknya komited untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan tanpa gangguan serta mengekalkan kestabilan, kebolehpercayaan dan keselamatan rangkaian 5G nasional demi kepentingan pihak berkepentingan dan pengguna akhir. - DagangNews.com