KUALA LUMPUR 22 April - Harga diesel kini RM5.12 iaitu penurunan 85 sen seliter daripada RM5.97 seliter sebelum ini, demikian diumumkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.
Menurut kementerian itu, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu. Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik.
"Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan," kata MoF.

Walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.
Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Dalam tempoh ini, rakyat diseru untuk terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara. - DagangNews.com








