KUALA LUMPUR 31 Julai — Dialog Group Berhad perlu memanfaatkan penggunaan teknologi terkini dalam projek terbaharunya di Pengerang, Johor kerana ia bersifat jangka panjang, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia harus serius meneroka pelbagai teknologi baharu dalam projek selama tempoh 25 tahun itu, kerana boleh memberi kesan besar ke atas permintaan produk dikendalikannya.
Selain itu tambahnya, penggunaan teknologi lama juga boleh menjejaskan perkhidmatan kilang penapis bio berkenaan kerana sektor tenaga mengalami pembaharuan dan kemajuan teknologi pesat secara ketara.
"Kami berpendapat, memandangkan sifat projek jangka panjang, perubahan teknologi mungkin berlaku dalam masa terdekat dan ini perlu difikirkan oleh Dialog," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Semalam, kumpulan itu melalui syarikat bersekutunya, Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2) melabur sejumlah AS$330 juta (kira-kira RM1.4 bilion) bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan di Pengerang.
Projek usaha sama antara Petronas, Eni SpA dan Euglena Co Ltd itu akan membangunkan sebanyak 272,000 meter padu khusus untuk Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB) di bandar penapisan minyak tersebut.
Mengulas lanjut, MBSB Research berkata, disebabkan kos projek itu sendiri amat besar, Dialog boleh mencatatkan risiko pembiayaan jangka panjang dan kestabilan operasi kilang penapisan berkenaan.
"Kumpulan ini juga dikhuatiri mengalami anjakan pasaran dan peraturan, serta risiko pelaksanaan antaranya kemungkinan isu kelewatan dan lebihan kos yang menjejaskan hasil syarikat," tambahnya.
Bagaimanapun firma berkenaan masih lagi optimis ke atas Dialog yang diketahui berpengalaman luas dalam projek tenaga sebelum ini dengan kepakaran pasukan petugas serta peralatan berteknologi moden.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, MBSB Research terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.85 sesaham. - DagangNews.com








