Dialog berpotensi beri kejutan positif pada 2HFY26F, prospek pertumbuhan kukuh disokong pengembangan aset bernilai tinggi - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog berpotensi beri kejutan positif pada 2HFY26F, prospek pertumbuhan kukuh disokong pengembangan aset bernilai tinggi - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Feb — Dialog Group Berhad dijangka mencatatkan keuntungan yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26F) disokong rancangan pengembangan aset bernilai tinggi, kata penganalisis.

 

CGS International (CGSI) menyenaraikan enam pemacu potensi untuk penarafan semula saham Dialog, termasuk:

 

* Pemulihan separa harga minyak Brent susulan ketegangan geopolitik AS-Iran, yang dijangka menstabilkan keuntungan huluan;

 

* Pengambilalihan kepentingan tidak didedahkan dalam Cendramas PSC pada 10 Februari 2026, yang merupakan aset pengeluar dan dijangka menyumbang kepada keuntungan segera;

 

* Permulaan operasi tangki bahan api boleh baharu Langsat 3 berkapasiti 150,000 cbm pada September 2026F dalam segmen pertengahan aliran;

 

* Pengiktirafan keuntungan daripada kontrak EPCC RM1 bilion untuk terminal tangki Petronas Biorefinery berkapasiti 272,000 cbm yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, CY26F dan CY27F; serta

 

* Aktiviti penyelenggaraan loji yang dijangka meningkat pada Jan-Jun 2026F termasuk penyelenggaraan Kertih ethane cracker, loji polietilena hiliran, dan penapisan minyak mentah Melaka.

 

"Selain itu, Dialog juga menegaskan ChemOne bukan satu-satunya pelanggan terminal tangki berpotensi, dan pengumuman pelanggan baharu secara mengejut boleh menjadi pemacu harga saham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGSI mengekalkan saranan “Add” ke atas Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.28, berasaskan model Sum-of-Parts (SOP), selepas mengambil kira andaian kadar pertukaran dolar AS dan dolar Singapura yang lebih lemah berbanding ringgit.

 

Bagi 1HFY26, Dialog mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.41 bilion (+7.5%yoy) dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM297.0 juta, mewakili peningkatan lebih daripada 100% berbanding RM23.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Pemulihan keuntungan ini didorong terutamanya oleh peningkatan prestasi operasi di seluruh segmen teras serta sumbangan lebih tinggi daripada usaha sama dan syarikat berkaitan. 

 

Bahagian keuntungan daripada usaha sama dan syarikat berkaitan meningkat dengan ketara kepada RM76.4 juta bagi suku ini, berbanding RM7.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) pula berkata, antara projek pengembangan aset bernilai tinggi utama termasuk pengembangan tangki bahan api boleh diperbaharui di Langsat berkapasiti 150,000 m³ yang dijangka siap pada suku pertama FY27, diikuti pengembangan storan 272,000 m³ di PT2 untuk biorefineri PETRONAS-ENI-Euglena dijangka siap pada separuh kedua FY28. 

 

Seterusnya, pengembangan di PT5 dengan storan 614,000 m³ untuk BP Singapura dijangka siap pada pertengahan 2028.

 

Selain itu, Dialog mempunyai tambahan tanah seluas 660 ekar di Pengerang Deepwater Terminals, memberikan fleksibiliti untuk peluang pengembangan masa hadapan dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas (O&G).

 

"Pengembangan strategik ini dijangka menyokong kestabilan aliran tunai syarikat dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju terminal midstream di Malaysia.

 

"Dengan portfolio aset berulang dan kestabilan tunai yang kukuh, Dialog terus menjadi pilihan utama pelabur dalam sektor ini, sejajar dengan saranan “Beli” dan harga sasaran RM2.21 yang dikekalkan," kata firma itu.

 

MBSB Research berkata, Dialog kekal yakin dengan model perniagaannya untuk menghadapi ketidakpastian ekonomi semasa dan turun naik pasaran.

 

Dalam perniagaan huluan (upstream), Dialog sedang mengembangkan kehadirannya melalui pembangunan lapangan minyak dan gas. 

 

"Kami menyedari bahawa perniagaan midstream kekal sebagai fokus utama, dengan pelaburan berterusan di Pengerang Deepwater Terminals.

 

"Disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak mentah, kami berpendapat bahawa permintaan ruang penyimpanan akan kekal tinggi dalam jangka pendek hingga sederhana. Ini akan menjadi perkembangan positif bagi perniagaan midstreamnya," katanya.

 

Oleh itu, MBSB mengekalkan saranan BELI, dengan harga sasaran RM2.17, berdasarkan PER sebanyak 22.1x kepada EPS26 sebanyak 9.8 sen. 

 

PER ini adalah berdasarkan PER 5-tahun Dialog sebanyak 26.5x dengan diskaun (-2 SD); kami mengekalkan pendirian konservatif mengenai penilaian buat masa ini selepas prestasinya pada beberapa suku yang lalu.

 

RHB Research turut mengekalkan prospek optimis ke atas Dialogdengan menaikkan saranan panggilan daripada NEUTRAL  kepada BELI, sambil mengekalkan harga sasaran (TP) MYR2.02, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 21% berbanding harga semasa.

 

RHB turut mengekalkan anggaran keuntungan FY26F-28F tidak berubah, sambil mengambil kira diskaun ESG 6%, berikutan skor ESG Dialog 2.7, di bawah median negara 3.0. - DagangNews.com