KUALA LUMPUR 10 Jun - Penyedia rumusan kejuruteraan, Destini Berhad menerusi Destini Oil Services Sdn Bhd menerima kontrak tiga tahun daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited bagi kontrak peralatan dan perkhidmatan pengendalian tiub untuk operasi medan minyak PM3-CAA.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu mengukuhkan kedudukan strategik Destini dan kehadirannya dalam sektor huluan luar pesisir Malaysia, yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan medan minyak.
Di bawah kontrak selama tiga tahun yang bermula dari 24 April 2025 hingga 23 April 2028, Destini Oil Services akan menggunakan kepakarannya dalam perkhidmatan pengendalian tubular bagi menyokong operasi medan PM3-CAA milik Hibiscus.
Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata, kontrak itu akan meningkatkan portfolio huluan dan mengukuhkan perkongsian strategik kumpulan dengan Hibiscus.
"Aliran hasil terjamin akan menyumbang kepada pendapatan kami sambil mengesahkan komitmen untuk mencapai objektif kami.
"Sambil Malaysia menuju sasaran pengeluaran 2 juta tong sehari, kami tetap teguh dalam menyokong sektor tenaga dengan kepakaran kami yang terbukti, terutamanya memandangkan permintaan untuk OCTG dijangka kekal kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, dengan rekod prestasi lebih dua dekad di Asia Tenggara, Destini Oil Services secara konsisten menunjukkan keupayaannya sebagai penyedia perkhidmatan medan minyak luar pesisir yang dipercayai.
Katanya, memanfaatkan teknologi canggih seperti CDS yang baru diperoleh dan memulakan aplikasi automatik, syarikat ini terus meningkatkan kecekapan penggerudian serta meningkatkan standard keselamatan operasi.
"Destini Oil Services kekal komited untuk menyokong aspirasi tenaga rantau ini melalui rumusan inovatif dan kecemerlangan operasi," katanya. - DagangNews.com








