Denda belum dikutip daripada syarikat bagi kelewatan pembekalan Gempita | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Denda belum dikutip daripada syarikat bagi kelewatan pembekalan Gempita

MODEL kenderaan perisai Gempita yang digunakan Tentera Darat Malaysia. - Foto hiasan
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Kelemahan ketara dikesan dalam pengurusan perolehan kontrak pelbagai kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia (TDM), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025.

 

Ia katanya, melibatkan tawaran kontrak sejumlah kenderaan perisai utama yang bernilai RM7.8 bilion iaitu Gempita, Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV dalam tempoh audit dari 2020 hingga 2023.

 

Kontrak itu sepatutnya menyokong TDM menjadi angkatan darat moden yang mampu mempertahankan kedaulatan Malaysia, tetapi masalah kekurangannya menjejaskan pencapaian objektif pasukan tersebut.

 

“Kelewatan pembekalan Gempita bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023 melibatkan sebanyak 68 kenderaan perisai dan dua kenderaan jenis B," kata LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Bagaimanapun denda tersebut hanya dituntut TDM pada 15 Januari 2025, iaitu lewat 746 hari selepas kontrak tamat pada 31 Disember 2022 yang berpotensi mendedahkan kerajaan kepada risiko kerugian.

 

Semakan lanjut Jabatan Audit Negara tambahnya, juga mendapati kerajaan membuat bayaran penuh sebanyak RM7.52 bilion walaupun syarikat itu gagal mematuhi jadual penghantaran yang dipersetujui.

 

Sementara bon pelaksanaan kontrak sebanyak RM53.93 juta yang tamat tempoh pada 31 Disember 2024 juga kata LKAN, didapati sebagai tidak mencukupi untuk menampung jumlah denda dikenakan berkenaan.

 

Dalam pada itu, semakan audit bagi tempoh yang sama juga mendapati berlaku kelewatan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti untuk kenderaan Gempita, Adnan dan Pendekar.

 

Adnan
MODEL Adnan yang dinaik taraf untuk mampu beroperasi lebih lama. - Foto hiasan

 

Masalah berkenaan katanya, melibatkan anggaran denda sebanyak RM1.42 juta namun masih lagi belum dikenakan setakat akhir 2023, walaupun perkhidmatan tersebut sudah lewat selama 227 hari.

 

“LKAN turut menegur perolehan kecil-kecilan oleh beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang melanggar peraturan kewangan, membabitkan pembelian terus dan sebut harga berjumlah RM107.54 juta," katanya.

 

Tambahnya, ia melibatkan tempoh pelaksanaan tender dari 2020 hingga 2023, manakala perolehan berkenaan melebihi RM500,000 setahun yang sepatutnya perlu melalui laporan tender terbuka.

 

Selain itu katanya, ketiadaan kontrak utama untuk beberapa jenis kenderaan seperti MIFV dan Lipan Bara dalam tempoh audit, membawa kepada perolehan dilaksanakan secara pecah kecil, serta meningkatkan risiko tadbir urus.

 

Kementerian Pertahanan sementara itu menjelaskan bahawa kelewatan tersebut berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa berkenaan.

 

Bagaimanapun LKAN menegaskan bahawa langkah seperti mengeluarkan notis denda sepatutnya dapat dilaksanakan semasa kontrak tersebut masih berkuat kuasa bagi melindungi kepentingan kerajaan.

 

Pihaknya juga mengesyorkan kontrak diwujudkan dalam tempoh yang munasabah dan sebarang perolehan semasa ketiadaan kontrak tidak seharusnya dilaksanakan secara kecil-kecilan di peringkat PTJ.

 

"Sebaliknya langkah berkenaan wajar diserahkan terus kepada Kementerian Kewangan melalui pegawai pengawal untuk memperoleh kelulusan khas," katanya. - DagangNews.com