DeepSeek bakal pacu permintaan pusat data Malaysia, jangka berkembang 600% dalam lima tahun akan datang - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DeepSeek bakal pacu permintaan pusat data Malaysia, jangka berkembang 600% dalam lima tahun akan datang - Juwai IQI

Gambar hiasan dari unsplash
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pembangunan pusat data Malaysia yang mewakili sebanyak 1.2 gigawat (GW) dijangka berkembang 600% dalam jangka masa lima tahun, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari. 

 

Beliau berkata, kemunculan alat kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek pada mulanya menimbulkan kerisauan tentang kemampanan pertumbuhan pusat data (DC) Malaysia, bagaimanapun ia berkemungkinan besar memacu permintaan DC lebih tinggi. 

 

"Itu kerana AI seperti DeepSeek yang direka dengan kos yang lebih murah mampu menarik lebih ramai pengguna," katanya dalam satu kajian yang dikeluarkan oleh Juwai IQI, hari ini. 

 

Katanya, AI yang mempunyai pangkalan data bahasa luas perlu menjadi murah sebelum digunakan oleh orang ramai. 

 

"Bagaimanapun, nampaknya telah mencapai kemajuan besar dalam bidang ini.

 

"Harganya untuk token, atau output, hanyalah satu perlima belas daripada pesaingnya, Anthropic. 

 

"Sekarang model AI seperti DeepSeek sudah cukup murah untuk digunakan secara meluas, kita mungkin akan melihat peningkatan dalam penggunaan alat berkaitan AI," katanya.

 

Juwai
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari. 

 

Kelebihan utama yang menjadikan Malaysia lokasi utama untuk pembangunan pusat data termasuk kos tanah dan tenaga rendah, tenaga kerja mahir, infrastruktur digital  kukuh, insentif kerajaan dan ketersambungan ke pasaran utama seperti Singapura, ASEAN dan China. 

 

Sebaliknya, Malaysia mempunyai saluran paip pusat data bernilai berbilion dolar yang sebahagian besarnya sedia AI, sektor ini menerima inisiatif kerajaan yang menyokong dan pelaburan besar daripada syarikat seperti Nvidia, ByteDance, Google, AWS dan Microsoft.

 

Kira-kira 55% daripada projek baharu dirancang untuk kawasan Kuala Lumpur dan 45% lagi akan dibina di Johor.

 

"Sebagai contoh, taman pusat data hijau YTL Power di Johor akan menggabungkan penyejukan cecair terus-ke-cip termaju bagi membolehkan ketumpatan kuasa tinggi yang diperlukan oleh pemprosesan AI.

 

“Sama ada DeepSeek mengubah industri AI secara kekal atau tidak, kami percaya permintaan pusat data akan terus meningkat,” katanya.- DagangNews.com