Daya saing PMKS tempatan diancam struktur yuran e-dagang terlalu tinggi, kata Mamba | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Daya saing PMKS tempatan diancam struktur yuran e-dagang terlalu tinggi, kata Mamba

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Struktur pengenaan yuran oleh operator platform e-dagang yang terlalu tinggi dibimbangi boleh mengancam tahap daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (Mamba) berkata, isu bayaran berkenaan perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira tahap kelestarian jangka panjang platform digital tersebut.

 

Menurut Setiausaha Agungnya, Alvin Low Wei Yan, perbincangan seimbang dan membina wajar diadakan segera berhubung penyesuaian struktur yuran itu yang mencetuskan kebimbangan oleh pelbagai pihak.

 

“Kami merayu dan menyeru agar perlu ada ruang untuk dialog supaya semua pihak, daripada penjual kepada pembeli dan platform dalam talian dapat menang bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.

 

Selain itu, Mamba katanya, mengakui kenaikan harga bukanlah mudah, namun menegaskan dinamik global masa kini menyebabkan lambakan produk murah China ke pasaran Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

 

Barangan tersebut tambah Alvin, sudah menembusi pasaran melalui platform e-dagang baharu dan sedia ada yang menyasarkan pengguna di Malaysia, sekali gus menjejaskan kelangsungan penjual tempatan.

 

Katanya, trend berkenaan dijangka terus meningkat dalam bulan-bulan akan datang, dan semua pihak termasuk kerajaan wajar menyokong platform yang meletakkan PMKS mampu bersedia secara strategik.

 

“Kita mesti mengelakkan taktik cuba menakut-nakutkan dan mempolitikkan perbincangan penting yang dibimbangi memberi kesan langsung buruk kepada ribuan peniaga tempatan di Malaysia,” kata beliau.

 

Bagi menangani tekanan semasa, Mamba percaya bahawa platform e-dagang perlu terus melabur dalam menambah baik infrastruktur, peralatan dan perkhidmatan yang meningkatkan kepuasan pelanggan.

 

Alvin memberi contoh penghantaran lebih pantas, proses pemulangan boleh dipercayai, fungsi carian mudah, serta cadangan produk dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan trafik.

 

Langkah berkenaan katanya, menjadikan paparan platform dalam talian lebih menarik kepada pembeli, dan seterusnya dapat membantu peniaga PMKS meningkatkan keterlihatan serta kadar penukaran.

 

“Pengalaman pelanggan yang baik bukan hanya melibatkan isu pembeli tetapi ia adalah isu penjual. Apabila platform itu boleh dipercayai, mudah dan cekap, semua pihak mendapat manfaat," katanya.

 

Usaha itu tambahnya, membina kesetiaan pelanggan dan menggalakkan pembelian berulang berbanding bertindak bersendirian yang bukan sahaja mahal malah tidak mampan. - DagangNews.com