Datuk Abu Huraira dilantik sebagai Pengerusi FGV berkuat kuasa 2 Mac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Datuk Abu Huraira dilantik sebagai Pengerusi FGV berkuat kuasa 2 Mac

Datuk Abu Huraira Abu Yazid
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kumpulan perladangan FGV Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 2 Mac 2026.

 

Beliau menggantikan Tan Sri Rastam Mohd Isa yang memegang jawatan tersebut sejak September 2023, lebih dua tahun lalu.

 

Abu Huraira kini turut berkhidmat sebagai Pengerusi MISC Bhd, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Human Resource Development Corporation (HRDCorp), AET Pte Ltd serta Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd.

 

Menurut FGV dalam satu kenyataan, pengalaman luas serta rekod kepimpinan korporat, tadbir urus dan penglibatan berkepentingan yang dimiliki Abu Huraira akan membantu memacu FGV ke fasa pertumbuhan dan transformasi seterusnya.

 

Pelantikan kepimpinan baharu ini dibuat beberapa bulan selepas berlaku perubahan dalam struktur pentadbiran FGV apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Januari lalu dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kumpulan perladangan itu serta pemegang sahamnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

 

FGV telah diswastakan semula pada 2025 oleh Felda menerusi percubaan kedua selepas usaha pertama pada 2020 tidak berjaya.

 

Akhbar perniagaan Business Times pada 27 Februari lalu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman, telah mengemukakan peletakan jawatan kepada Ahmad Zahid, memetik sumber.

 

FGV berkata Abu Huraira membawa pengalaman hampir 50 tahun merentasi pelbagai industri termasuk perkhidmatan kewangan, logistik, keselamatan sosial, pemulihan, minyak dan gas serta pembangunan tenaga kerja.

 

Dengan kepakaran kukuh dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam institusi kewangan di Malaysia.

 

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari University of Malaya dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pengerusi Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn Bhd serta Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Bhd. - DagangNews.com