Dato’ Ahmad Redza Abdullah diumumkan sebagai Pengerusi KTMB, Ahmad Nizam pangku GCEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dato’ Ahmad Redza Abdullah diumumkan sebagai Pengerusi KTMB, Ahmad Nizam pangku GCEO

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pelantikan Dato’ Ahmad Redza Abdullah sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah syarikat itu, berkuat kuasa Ogos 2025.

 

Beliau merupakan tokoh guaman berpengalaman lebih tiga dekad, terkenal dalam mengendalikan kes litigasi berprofil tinggi serta memberi nasihat strategik korporat.

 

Beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus syarikat dan mempercepatkan agenda transformasi KTMB ke arah masa depan lebih mampan dan progresif, menurut kenyataan media KTMB hari ini.

 

Ahmad Redza merupakan pengasas bersama firma guaman Messrs. Shahrizat Rashid & Lee dan kini mengetuai REC Legal (Redza Eleena Chong) sebagai Rakan Kongsi Pengurusan. Kepimpinan beliau dalam bidang litigasi perdagangan dan korporat menjadi bukti kepada prinsip ketelusan dan integriti yang dibawanya.

 

Sepanjang kerjayanya, beliau telah mewakili pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa dalam isu penyusunan semula korporat, pertikaian pemegang saham serta kes-kes litigasi dalam sektor strategik seperti pembinaan dan perbankan.

 

 

Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin
             Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin


 

Pelantikan Pemangku GCEO

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB turut memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Teknikal syarikat, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin, telah dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berikutan tamat tempoh perkhidmatan Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin. - DagangNews.com