KUALA LUMPUR 28 Nov – Hibiscus Petroleum Berhad mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku pertama FY2026 (Q1 FY26), didorong harga minyak yang stabil dan kemajuan projek penggerudian baharu di medan Teal West.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu, bagi Q1FY26, kumpulan melaporkan EBITDA sebanyak RM190.9 juta dan keuntungan bersih (PAT) RM20.1 juta.
Katanya, pertumbuhan itu disokong pendapatan berjumlah RM433.1 juta dengan harga purata minyak dan kondensat direalisasikan AS$73.6 setiap tong.
"Berbanding suku pertama FY2025, EBITDA meningkat 27% walaupun pendapatan menurun sebanyak 9%," katanya dalam kenyataan itu.
Kemajuan Projek Teal West
Hibiscus telah memulakan aktiviti penggerudian telaga di medan Teal West pada September 2025. Telaga berkenaan telah menembusi formasi yang mengandungi minyak dan gas, dengan program penggerudian dijangka siap menjelang Disember 2025.
Katanya, data bawah permukaan awal menunjukkan bahawa rizab minyak dan gas Terbukti dan Berkemungkinan (2P) di Teal West dijangka melebihi anggaran awal sebanyak 3.4 MMboe.
Ia suatu perkembangan positif yang dijangka menyokong pengeluaran masa hadapan. Minyak pertama dari medan Teal West disasarkan pada pertengahan tahun kalendar 2026.
Dividen Interim dan Sasaran Tahunan
Hibiscus mengisytiharkan dividen interim pertama bertaraf tunggal FY2026 sebanyak 2.0 sen sesaham pada 28 November 2025.
"Syarikat juga mensasarkan jumlah dividen minimum sebanyak 8.0 sen hingga 10.0 sen sesaham, bergantung kepada harga minyak berada antara AS$65 hingga AS$75 per tong," kata kenyataan itu.
Dari segi jualan, kumpulan mencatat jualan sebanyak 1.9 MMboe minyak, kondensat dan gas sepanjang Q1FY26), dengan purata pengeluaran 23,656 boe sehari.
Tambahnya, metrik pengeluaran pada Q1FY26 dipengaruhi oleh kempen penyelenggaraan besar berjadual di PM3 CAA, Kinabalu dan Brunei Darussalam, namun syarikat terus mencatatkan prestasi positif.
Seiring itu, ujarnya, kumpulan telah menaikkan panduan offtake FY2026 daripada 8.8–9.3 MMboe kepada 9.0–9.4 MMboe, mencerminkan keyakinan syarikat terhadap peningkatan pengeluaran dan sumbangan projek baharu seperti Teal West.
Pengarah Urusan, Dr Kenneth Pereira, berkata, pihaknya sangat bersemangat dengan kemajuan program penggerudian pembangunan Teal West.
"Minyak pertama dijangka pada pertengahan CY2026, dan data awal bawah permukaan menunjukkan rizab 2P melebihi anggaran semasa, sekali gus mengukuhkan asas sumber dan pengeluaran kami.
“Berdasarkan prestasi operasi setakat ini, kami menaikkan sasaran jualan FY2026 daripada 8.8–9.3 MMboe kepada 9.0–9.4 MMboe. Melangkah ke hadapan, kami kekal komited untuk merealisasikan Misi 2030 dan mengekalkan usaha memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” tambah beliau. - DagangNews.com








