KUALA LUMPUR 18 Dis - Sektor hartanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia dijangka memasuki fasa kitaran menaik yang dipacu dasar kerajaan menyediakan satu juta rumah mampu milik antara 2026 hingga 2035 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), menurut BIMB Securities.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “overweight” ke atas kedua-dua sektor, didorong oleh kesinambungan insentif perumahan, persekitaran kadar faedah yang stabil serta peningkatan permintaan dalam segmen perindustrian.
Menurut BIMB, hala tuju dasar kerajaan kini menggalakkan pemaju menumpukan kepada produk pasaran massa dan pertengahan, dengan sokongan insentif pembiayaan seperti jaminan perumahan, pengecualian duti setem serta pelepasan cukai bagi kediaman berharga di bawah RM750,000.
Segmen aset perindustrian dan logistik pula dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan struktur utama sektor ini.
BIMB menegaskan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menjadi pemangkin utama kepada permintaan daripada pusat data, pembuatan berteknologi tinggi dan pemain logistik moden.
Keadaan tersebut dijangka memberi manfaat kepada pemaju dan REIT yang mempunyai pendedahan di koridor perindustrian strategik, khususnya di wilayah selatan dan kawasan perindustrian utama negara.
Dalam pada itu, asas sektor runcit turut menunjukkan pemulihan yang semakin kukuh, disokong oleh kebangkitan semula aktiviti pelancongan dan perbelanjaan domestik yang lebih mampan.
Ini telah mendorong peningkatan kadar penghunian pusat beli-belah serta semakan semula kadar sewaan di pusat bandar utama.
Dari sudut makroekonomi, BIMB berkata persekitaran kekal menyokong pertumbuhan sektor.
Pinjaman perumahan meningkat 6.1% tahun ke tahun kepada RM877.9 bilion setakat Oktober 2025, dengan pertumbuhan lebih pantas dicatatkan dalam segmen harga RM250,000 hingga RM1 juta, mencerminkan peningkatan kuasa beli pembeli.
BIMB turut menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% sepanjang 2026, sekali gus memastikan keadaan pembiayaan kekal kondusif dan menggalakkan kemasukan pembeli rumah pertama serta pembeli yang ingin menaik taraf kediaman.
Bagi sektor REIT, BIMB menyatakan penilaian masih menarik, dengan REIT didagangkan pada kira-kira 0.9 kali nisbah harga kepada nilai buku, selain menawarkan purata hasil pengagihan antara 5.5% hingga 6.0%.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengulangi saranan “BELI” ke atas Mah Sing Group Bhd, Sime Darby Property Bhd, Lagenda Properties Bhd dan SkyWorld Development Bhd, manakala bagi REIT, Al-Salam REIT dan Axis REIT menjadi pilihan utama bagi pelabur yang mencari pendapatan defensif serta pendedahan kepada segmen perindustrian. - DagangNews.com








