DAIH terima tiga inisiatif uji kestabilan stablecoin ringgit dan deposit token - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DAIH terima tiga inisiatif uji kestabilan stablecoin ringgit dan deposit token - BNM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) telah menerima penyertaan tiga inisiatif untuk menguji aplikasi sebenar yang melibatkan stablecoin ringgit dan deposit token pada tahun 2026.

 

Dalam kenyataan hari ini bank pusat itu berkata, tiga inisiatif tersebut ialah Standard Chartered Bank Malaysia dan Capital A Bhd yang akan menguji ringgit stablecoin untuk rumusan penyelesaian perniagaan-ke-perniagaan.

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) akan mengujui deposit tokenisasi untuk pembayaran.

 

Menurut BNM lagi, kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal dan melibatkan kerjasama dengan rakan ekosistem termasuk pelanggan korporat institusi kewangan serta badan pengawal selia lain. 

 

"Kes penggunaan tertentu juga akan melibatkan penelitian daripada aspek syariah.

 

"Ujian yang dijalankan akan membolehkan BNM menilai kesan terhadap kestabilan monetari dan kewangan serta menyumbang kepada hala tuju dasar BNM dalam bidang ini.

 

"Yang penting, BNM sedang merancang untuk memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai penggunaan stablecoin ringgit dan deposit token menjelang akhir tahun 2026," kata kenyataan itu.

 

Usaha ini juga akan menjadi langkah awal bagi penyepaduan dengan usaha BNM yang sedia ada pada masa hadapan, seperti mata wang digital bank pusat borong..

 

Sejak pelancaran DAIH pada bulan Jun 2025, BNM telah mengadakan libat urus dengan lebih 30 peserta industri antarabangsa dan tempatan daripada sektor perbankan dan bukan perbankan. 

 

Melalui sesi libat urus ini, BNM dapat mengenal pasti dan mengutamakan kes penggunaan berimpak tinggi yang mempunyai nilai tambah yang jelas dan menyokong pendigitalan sektor ekonomi dan kewangan Malaysia.

 

BNM komited untuk terus memajukan inovasi yang bertanggungjawab dalam bidang aset digital melalui DAIH.

 

DAIH akan mengadakan libat urus yang berterusan dengan bakal pemohon dan pada masa yang sama memberikan
tumpuan segera untuk menyokong inisiatif yang telah diterima masuk. - DagangNews.com