KUALA LUMPUR 29 Julai — Keuntungan bersih Bursa Malaysia Berhad susut 29.07% pada suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 disebabkan hasil dagangan sekuriti lebih perlahan untuk tiga suku berturutan.
Kumpulan tersebut melaporkan keuntungan bersihnya turun kepada sebanyak RM56.51 juta pada 2QFY25 berbanding kira-kira RM80.45 juta yang berjaya direkodkan pada tempoh suku yang sama tahun lalu.
Hasil pasaran sekuriti turut jatuh 22 peratus, yang mengheret jumlah hasilnya kepada RM172.58 juta daripada RM199.94 juta setahun lalu, manakala sumbangan segmen lain pula namun masih meningkat.
"Kumpulan ini mengisytiharkan dividen 14 sen sesaham bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025, berbanding dengan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 15.5 sen," katanya dalam satu makluman.
Bursa Malaysia tambahnya lagi, telah membayar dividen sebanyak 18 sen sesaham dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, dengan kadar EPS ketika itu dicatatkan kira-kira 19.2 sen.
Ia menyatakan, isu perbincangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik menjejaskan sentimen pasaran tempatan serta mengganggu keadaan pasaran ekuiti dan segmen pasaran sekuritinya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, peningkatan dalam semua pendapatan segmen yang lain pula mencerminkan kepentingan strategi bursa tersebut.
"Perkembangan tersebut membuktikan keberkesanan busa bagi mempelbagaikan barisan hasil dengan meningkatkan tawaran yang merentas pelbagai kelas aset," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Untuk 1HFY2025, keuntungan bersihnya turun 19.29% tahun ke tahun kepada RM125.48 juta daripada RM155.48 juta dan hasil susut 7.8% kepada RM356.96 juta berbanding RM387.14 juta setahun lalu.
Sementara itu, Fadl menambah, Bursa Malaysia terus menerajui pasaran ASEAN dari segi penyenaraian baharu mengikut jumlah volum, nilai dagangan dan permodalan pasaran yang begitu positif.
Pengendali bursa itu akan terus memantau perkembangan global dan impak pasaran selain komited memajukannya sebagai Bursa Berbilang Aset di bawah Pelan Hala Tuju Strategik 2024–2026.
"Bidang tumpuan utama kami termasuk menjadi platform pengumpulan dana pilihan perniagaan, meningkatkan kecairan pasaran, serta meneroka cara memacu perniagaan data," katanya. - DagangNews.com








