KUALA LUMPUR 3 Feb - Cypark Resources Bhd mengumumkan loji solar terapung Danau Tok Uban (DTU) di Kelantan, pemasangan solar terapung terbesar di Malaysia, secara rasminya telah mencapai tarikh operasi komersial (COD) untuk baki loji solar terapung 30MWac yang dikenali sebagai DTU1.
Ini berikutan loji 30MWax DTU2 mencapai COD pada 7 Januari 2025.
Gabungan kemudahan solar terapung 60MWac kini beroperasi sepenuhnya dan membekalkan tenaga bersih kepada grid nasional.
Pengerusi Eksekutif Cypark, Datuk Ami Moris berkata, ia menandakan kejayaan menyiapkan semua projek tertunggak di bawah lembaga yang dibentuk semula Cypark dan pengurusan kanan baharu.
"Mencapai COD untuk Danau Tok Uban mewakili lebih daripada sekadar penyiapan projek—ia menandakan transformasi dalam keupayaan dan kepimpinan Cypark.
"Sepanjang tahun lalu, kami telah mengukuhkan pasukan pengurusan dan kejuruteraan kami, berjaya menyelesaikan projek tenaga boleh diperbaharui dan menyelesaikan cabaran luar biasa untuk meletakkan kumpulan sebagai syarikat tenaga boleh diperbaharui yang terkemuka di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Eksekutif Cypark, Muhammad Ashraf berkata, fasa seterusnya syarikat itu akan memberi tumpuan yang kukuh untuk mengembangkan peranannya dalam landskap tenaga hijau Malaysia, khususnya melalui inisiatif dan peluang pertumbuhan baharu seperti German Tech Park di Melaka dan pembangunan solar terapung masa depan di Tasik Kenyir. - DagangNews.com








