KUALA LUMPUR 24 Jun – Cuckoo International (Mal) Bhd merancang untuk melabur sebanyak RM5 juta bagi membuka 10 buah “brandshop” fizikal di Malaysia dalam tempoh dua tahun, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kehadiran fizikalnya melalui konsep kedai “cash and carry”.
Syarikat ini merupakan unit tempatan kepada pengeluar peralatan rumah dari Korea Selatan, Cuckoo Homesys Co Ltd.
Menurut prospektus syarikat, Cuckoo Malaysia menyasarkan untuk membuka kedai-kedai tersebut di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor pada tahun ini, manakala selebihnya akan dibuka di Selangor, Melaka, Perak, Kelantan, Terengganu dan Kedah menjelang tahun hadapan.
Ketua Pegawai Operasi Cuckoo Malaysia, Toh Seng Lee berkata kepada media selepas majlis penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia hari ini bahawa syarikat kini mempunyai 263 buah “brandshop” di seluruh negara, namun semuanya hanyalah pusat demonstrasi produk.
“Produk kami memerlukan pemasangan di premis pelanggan, jadi ia kurang sesuai untuk dibeli secara tunai dan bawa pulang," menurutnya dipetik Bernama hari ini.
“Kami juga akan mempamerkan periuk nasi kami, yang merupakan produk utama kami,” katanya sambil menambah bahawa produk tersebut menguasai 87 peratus pasaran di Korea Selatan dan akan diperkenalkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Bryan Yeong berkata syarikat akan memperuntukkan RM10 juta untuk peluasan pasaran di Singapura dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini.
“Kami telah berada di Singapura selama enam tahun dan ingin memperluaskan lagi jejak kami di sana,” katanya.
Cuckoo Malaysia membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.09, meningkat satu sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.08, dengan sejumlah 15.33 juta saham didagangkan.
Melalui IPO tersebut, Cuckoo Malaysia berjaya mengumpul RM184.8 juta, di mana 56.7 peratus daripada hasil itu diperuntukkan untuk pembelian produk bagi memperkembangkan perniagaan sewa milik syarikat, manakala 21.6 peratus digunakan bagi pembayaran semula hutang.
Sebanyak 2.7 peratus pula akan digunakan untuk membuka kedai runcit, 3.0 peratus bagi naik taraf teknologi maklumat (IT), 5.4 peratus untuk peluasan pasaran di Singapura dan selebihnya untuk perbelanjaan penyenaraian, menurut prospektus syarikat.
Cuckoo Malaysia kini merupakan pemain kedua terbesar dalam segmen sewaan peralatan rumah dengan penguasaan pasaran sebanyak 23.1 peratus setakat Disember 2024. - DagangNews.com








