KUALA LUMPUR 20 Feb - CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Maybank Islamic Berhad melancarkan inisiatif Banking-as-a-Service (BaaS) pertama di Malaysia untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan runcit dengan menyediakan rumusan kewangan patuh syariah dan sesuai dengan keperluan rakyat Malaysia.
Melalui perkongsian itu, CTOS akan menggabungkan teknologi penilaian kredit dan pengurusan risiko canggih dengan perkhidmatan perbankan Islam dari Maybank Islamic.
Ia bertujuan memberi peluang kepada PKS dan pelanggan runcit membuat keputusan kewangan yang lebih bijak sambil memastikan ia mematuhi prinsip syariah.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut menyediakan pelbagai tawaran menarik kepada PKS dan pelanggan runcit, termasuk produk Maybank Islamic yang disesuaikan dan insentif yang menarik.
Satu daripada insentif menarik adalah peluang untuk memenangi perjalanan ke Korea bagi pelanggan yang menyertai kempen yang berlangsung dari 16 Disember 2024 sehingga 30 April 2025.
Mulai sekarang sehingga 30 April 2025, CTOS menawarkan beberapa manfaat menarik kepada pelanggan PKS dan runcit Maybank Islamic antaranya laporan syarikat CTOS percuma bagi membantu PKS memahami perniagaan dan rakan kongsi mereka (terhad kepada 10,000 pemohon pertama).
Selain itu, kumpulan tersebut juga boleh mendapat langganan percuma selama dua bulan untuk alat pengurusan kredit CTOS serta pulangan tunai RM250, selain perkhidmatan halal percuma bernilai RM5,000 bagi 100 pemegang akaun SME First Account-i yang mendaftar melalui laman web Maybank.
Bagi pelanggan runcit, mereka boleh membeli Laporan Skor CTOS dan berpeluang memenangi hadiah seperti baucar perjalanan bernilai RM10,000, iPhone 16 dan pengering rambut Dyson Supersonic.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, kerjasama itu merupakan langkah pertama yang penting untuk memberi insentif kepada PKS dalam mengadaptasi pembiayaan digital dan perkhidmatan digitalisasi perniagaan.
"Selain menjadi yang pertama dalam industri bagi sebuah biro kredit untuk bekerjasama dengan Maybank Islamic Berhad, kerjasama ini juga akan meningkatkan pemahaman rakyat Malaysia mengenai pengurusan kredit dan risiko.
"Ia juga menyediakan rumusan yang disesuaikan untuk pelanggan runcit yang sesuai dengan gaya hidup rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Program Strategik Maybank Islamic, Dr. Muhd Ramadhan Fitri Ellias menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting dalam misi mereka untuk membawa rumusan kewangan inovatif dan mematuhi syariah kepada pelanggan.
"Dengan menyepadukan alat pengurusan risiko kredit CTOS bersama rumusan perbankan Islam kami, kami memperkasakan pelanggan individu dan PKS untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, yang akhirnya membantu mengembangkan perniagaan mereka secara mampan," ujarnya.
Inisiatif berkenaan membuktikan komitmen CTOS dan Maybank Islamic untuk memperkasakan PKS dan pelanggan runcit dengan menyediakan rumusan kewangan yang lebih bijak dan mematuhi syariah, serta membantu mereka mengawal masa depan kewangan dengan lebih yakin. - DagangNews.com








